Kenaikan Had Bebas Cukai Bantu Rancakkan Semula Landskap Pelancongan Langkawi
ALOR SETAR, 6 Nov (Bernama) -- Peningkatan had pembelian barangan bebas cukai kepada RM10,000 dijangka menjadi pemangkin kepada pemulihan sektor pelancongan serta merancakkan kembali kegiatan ekonomi di Pulau Langkawi yang terjejas susulan pandemik COVID-19 pada 2020.
Pengumuman kerajaan itu jelas mendapat reaksi yang positif daripada pelbagai pihak antaranya pengusaha feri dan persatuan pelancongan tempatan yang menyifatkannya sebagai talian hayat untuk menaikkan semula kuasa membeli pelancong.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) Datuk Seri Iskandar Mohd Kaus berkata insentif berkenaan mempunyai potensi besar untuk menarik lebih ramai pelabur baharu dalam sektor perniagaan bebas cukai ke pulau permata Kedah itu.
“Langkah ini mencerminkan usaha strategik untuk mengembalikan serta memperkukuh daya tarikan Langkawi sebagai destinasi beli-belah utama bagi pelancong domestik dan antarabangsa.
“Peluasan pengecualian duti import kepada lebih banyak produk buatan Langkawi juga memberikan ruang kepada usahawan tempatan untuk meningkatkan daya saing mereka dan memperluas pasaran ke tahap yang lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Parlimen baru-baru ini mengumumkan peningkatan had pembelian berkenaan bagi pulau bebas cukai Langkawi dan Labuan.
Kemudahan itu tertakluk pada tempoh penginapan minimum 48 jam bagi merancakkan sektor pelancongan kedua-dua pulau berkenaan.
Sementara itu, pengusaha feri Langkawi Dr Baharin Baharom yang juga Pengurus Besar Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd (Ferry Line) berkata inisiatif berkenaan memberikan peluang dan ruang yang besar untuk Langkawi membangun jauh lebih rancak berbanding pulau-pulau peranginan yang lain.
“Kita boleh tarik lebih ramai pelancong untuk datang ke Langkawi … apabila had bebas cukai ini dinaikkan, pelancong boleh berbelanja lebih, sekali gus dapat membantu merancakkan ekonomi di pulau ini, terutamanya dalam membantu usahawan tempatan.
“Sebagai perintis pulau bebas cukai pertama di Malaysia, Langkawi mempunyai rekod prestasi yang terbukti mampu menjana pendapatan berbilion ringgit kepada ekonomi negara,” katanya kepada Bernama.
Dalam pada itu, Ahli Jawatankuasa Persatuan Penggiat Industri Pelancongan Langkawi (PPIPL) Yasmiza Yum menyifatkan kenaikan had RM10,000 itu sebagai langkah positif untuk meningkatkan aliran tunai komuniti dan membantu peniaga kecil serta sederhana.
Bagaimanapun, beliau berkata garis panduan serta perincian barangan bebas cukai perlu dijelaskan bagi mengelakkan pelancong asing dan tempatan keliru tentang jenis barangan yang boleh dibawa keluar dari pulau berkenaan.
“Sebelum ini, pelancong bukan tidak mahu berbelanja, tetapi mereka dihadkan oleh barangan tertentu, contohnya barangan elektrik yang terpaksa ditinggalkan atau dikenakan cukai di pintu keluar … kuasa membeli itu ada, namun terhad. Jadi, inisiatif ini memang sangat dialu-alukan dan disambut baik.
“Pihak agensi pelancongan, pemandu pelancong dan pengusaha vila memerlukan senarai hitam putih mengenai barangan yang dibenarkan agar mereka dapat mempromosikan pakej pelancongan dengan berkesan,” katanya.
-- BERNAMA