IPP Malaysia Meningkat 6.3 Peratus Tahun Ke Tahun Pada September – DOSM
KUALA LUMPUR, 10 Nov (Bernama) -- Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia meningkat 6.3 peratus dipacu terutamanya oleh output sektor pembuatan yang merekodkan nilai jualan berjumlah RM191.4 bilion.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), momentum positif IPP ini disokong oleh kenaikan output sektor pembuatan sebanyak 9.4 peratus (Ogos 2026: 7.4 peratus) dan sektor penjanaan elektrik yang meningkat 10.7 peratus (Ogos 2026: 9.0 peratus).
"Sebaliknya, sektor perlombongan menyusut 9.4 peratus (Ogos 2026: -7.4 peratus), berikutan dengan kejatuhan output bagi minyak mentah dan kondensat (-11.8 peratus) dan gas asli (-7.9 peratus).
"Dari segi prestasi bulan ke bulan, IPP mencatatkan peningkatan 1.3 peratus (Ogos 2026: 2.6 peratus) yang disokong oleh pertumbuhan 2.9 peratus dalam sektor pembuatan," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Secara kumulatif, DOSM memaklumkan prestasi IPP bagi sembilan bulan pertama 2026 berkembang sebanyak 5.7 peratus berbanding tempoh sama pada tahun 2025 (Januari - September 2025: 2.9 peratus).
"Prestasi IPP bagi suku ketiga 2026 terus meningkat kepada 5.3 peratus (suku kedua 2026: 7.7 peratus). Prestasi ini disokong oleh pertumbuhan sektor pembuatan (7.8 peratus) dan elektrik (8.3 peratus), mengimbangi penyusutan 6.7 peratus dalam sektor perlombongan.
"Secara suku ke suku, IPP menunjukkan pertumbuhan positif dengan kenaikan 4.3 peratus," tambahnya.
-- BERNAMA