Indeks Kos Bahan Binaan Bangunan Dengan Bar Keluli Menurun Di Semenanjung Pada Oktober – DOSM
KUALA LUMPUR, 10 Nov (Bernama) -- Perbandingan bulanan Indeks Kos Bahan Binaan Bangunan (IKB) termasuk bar keluli mengikut kategori bangunan dan kawasan di Semenanjung pada Oktober 2026 mencatatkan penurunan antara negatif 0.1 peratus hingga negatif 3.8 peratus, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Dalam satu kenyataan hari ini, DOSM memberitahu, IKB termasuk bar keluli di Sabah menunjukkan peningkatan kecil iaitu 0.1 peratus hingga 0.2 peratus bagi hampir semua kategori bangunan di kawasan Sandakan manakala Kota Kinabalu kekal tidak berubah pada tempoh yang sama.
Selain itu, menurutnya, perbandingan bulan ke bulan IKB termasuk bar keluli di Sarawak juga merekodkan penurunan kecil antara -0.1 peratus hingga -0.4 peratus bagi hampir semua kategori bangunan di Sibu sementara Kuching dan Miri mencatatkan sedikit peningkatan antara 0.1 peratus hingga 0.2 peratus.
Indeks harga seunit pasir pula mencatatkan peningkatan pada Oktober 2026 dengan perubahan bulan ke bulan antara 0.3 peratus hingga 1.8 peratus di beberapa kawasan.
Peningkatan tertinggi dicatatkan di Sandakan (1.8 peratus) diikuti dengan Kuching (0.8 peratus) dan Johor (0.5 peratus).
"Indeks harga seunit simen mencatatkan peningkatan kecil pada Oktober 2026 iaitu antara 0.1 peratus sehingga 0.4 peratus berbanding bulan lepas.
"Peningkatan bagi bahan ini telah direkodkan di Perak (0.4 peratus), Terengganu dan Kelantan serta Kuching (masing-masing 0.3 peratus)," jelasnya.
Selain itu, indeks harga seunit besi juga mencatatkan penurunan pada Oktober 2026 dengan perubahan bulan ke bulan antara -0.2 peratus hingga -10.5 peratus di beberapa kawasan.
"Penurunan dicatatkan di Perak (-10.5 peratus) diikuti Terengganu dan Kelantan (-3.6 peratus) serta Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan (-1.3 peratus)," tambahnya.
Perbandingan tahun ke tahun bagi indeks harga seunit besi telah mencatatkan penurunan antara -0.6 peratus hingga -8.2 peratus pada Oktober 2026 berbanding bulan yang sama tahun lepas bagi seluruh kawasan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Peningkatan tertinggi bagi indeks harga seunit simen telah dicatatkan di Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan (7.4 peratus) diikuti Terengganu dan Kelantan dan Kuching (masing-masing 5.7 peratus).
DOSM memaklumkan, perbandingan tahun ke tahun bagi indeks harga seunit besi telah mencatatkan penurunan antara -0.6 peratus hingga -8.2 peratus pada Oktober 2026 berbanding bulan yang sama tahun lepas bagi seluruh kawasan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Menurutnya, penurunan tertinggi dicatatkan di Perak (-8.2 peratus), Terengganu dan Kelantan (-4.8 peratus) serta Miri (-4.0 peratus).
DOSM turut melaporkan purata harga simen Ordinary Portland kekal tidak berubah dengan purata harga RM25.80 per 50 kilogram sekarung.
" Selain itu, purata harga seunit besi yang terdiri daripada bar bulat keluli lembut dan Mycon 60 high tensile deformed bars mencatatkan penurunan (-3.0 peratus) dengan purata harga RM3,327.30 bagi setiap tan berbanding bulan sebelumnya (September 2026: RM3,431.90 per tan)," jelasnya.
-- BERNAMA