Tiada Perbincangan Dengan Kerajaan Ambil Alih Pasaran Domestik AirAsia - MAG
KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Malaysia Aviation Group (MAG) menjelaskan pihaknya tidak mengadakan sebarang perbincangan rasmi dengan kerajaan berhubung pengambilalihan bahagian pasaran domestik AirAsia Bhd atau mengambil alih laluan penerbangan syarikat itu.
"Tiada sebarang perbincangan mengenai perkara itu," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Kapten Nasaruddin A Bakar kepada pemberita di luar Persidangan Presiden Persatuan Syarikat Penerbangan Asia Pasifik (AAPA) ke-70 (AP70), di sini hari ini.
Beliau berkata sebagai syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines bertanggungjawab memastikan kesalinghubungan dalam negara dan ke peringkat antarabangsa.
Mengulas mengenai persaingan yang adil, Kapten Nasaruddin menjelaskan ia merujuk kepada caj lapangan terbang yang dikenakan terhadap syarikat penerbangan yang menggunakan prasarana sama, dan bukannya bantuan kewangan.
Beliau berkata semua syarikat penerbangan yang beroperasi menggunakan kemudahan lapangan terbang sama sepatutnya dikenakan caj yang setara bagi memastikan persaingan yang adil.
"Sebagai contoh, jika caj perkhidmatan penumpang di sesebuah lapangan terbang ialah RM20, Syarikat Penerbangan A perlu membayar RM20 dan Syarikat Penerbangan B juga perlu membayar RM20 kerana kedua-duanya menggunakan prasarana yang sama," katanya.
Sementara itu, caj berbeza boleh dikenakan bergantung kepada prasarana yang digunakan, seperti antara Terminal 1 dan Terminal 2.
"Jika sesebuah syarikat penerbangan perlu membayar caj tertentu, semua syarikat penerbangan lain yang menggunakan prasarana sama juga perlu dikenakan caj berkenaan," katanya.
-- BERNAMA