MAG Umum Pelan Penggantian Pesawat Badan Lebar Jarak Jauh Bulan Depan
KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Malaysia Aviation Group (MAG) dijangka mengumumkan pelan penggantian pesawat badan lebar untuk penerbangan jarak jauh pada bulan depan, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Kapten Nasaruddin A. Bakar.
Beliau berkata kelewatan itu, yang sebahagiannya berpunca daripada kekangan rantaian bekalan pengeluar, boleh menjejaskan perancangan operasi serta kapasiti kumpulan itu.
Menurutnya syarikat penerbangan lazimnya menjual tiket antara tiga hingga enam bulan lebih awal berdasarkan jangkaan ketersediaan pesawat.
Nasaruddin berkata sebarang kelewatan penghantaran boleh menjejaskan keupayaan mereka untuk menyediakan perkhidmatan yang telah dirancang.
“Apabila penghantaran pesawat tertangguh, kami tidak dapat menyediakan perkhidmatan seperti yang dirancang. Oleh itu, kami perlu menyelesaikan gangguan itu dengan memindahkan sebahagian penumpang ke pesawat lain,” katanya kepada pemberita di luar persidangan Perhimpunan Presiden Ke-70 Persatuan Syarikat Penerbangan Asia Pasifik (AAPA AP70) di sini hari ini.
Nasaruddin berkata impak terhadap pendapatan MAG pada tahun depan dijangka minimum melainkan kumpulan itu terpaksa melaksanakan pengurangan kapasiti yang ketara.
“Bagaimanapun sekiranya terdapat pengurangan kapasiti yang ketara, ini akan memberi kesan kepada pendapatan kami pada tahun depan,” katanya sambil memaklumkan hasil kasar MAG mencatatkan peningkatan sebanyak 14 peratus tahun ke tahun antara 2025 dan 2026.
Beliau berkata perniagaan pengendalian darat MAG mencatatkan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sekitar empat peratus, disokong oleh kemasukan lebih banyak syarikat penerbangan ke Malaysia.
“Kami mencatatkan CAGR kira-kira empat peratus setahun bagi perniagaan pengendalian darat, bergantung kepada syarikat penerbangan yang memasuki Malaysia. Kami juga melihat ramai pelanggan baharu yang kini menerima sokongan perkhidmatan kami di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” katanya.
MAG telah menambah empat pelanggan syarikat penerbangan kepada perniagaan pengendalian daratnya pada tahun ini.
Nasaruddin berkata MAG telah menaikkan purata tambang penerbangannya sebanyak 20 hingga 30 peratus bagi mengimbangi sebahagian kesan kenaikan harga bahan api jet, yang melonjak kira-kira 90 peratus berbanding paras sebelum tecetusnya konflik berkenaan.
“Bagaimanapun, kenaikan harga bahan api adalah tinggi iaitu kira-kira 90 peratus lebih tinggi berbanding paras sebelum perang. Oleh itu, syarikat penerbangan tidak dapat mendapatkan semula sebahagian daripada kos itu melalui tambang yang dikenakan kepada penumpang,” katanya.
Beliau berkata tekanan kos itu turut dirasai oleh industri penerbangan di seluruh rantau Asia Pasifik dengan data yang dikeluarkan AAPA menunjukkan bahawa margin keuntungan syarikat penerbangan telah menyusut kepada kurang daripada separuh paras sebelumnya.
“Kebiasaannya margin keuntungan kami adalah sekitar dua hingga tiga peratus. Pada 2026, dengan mengambil kira kesan harga bahan api, margin itu hanya sedikit di bawah satu peratus,” katanya.
Harga bahan api dijangka kekal tinggi pada 2027 sekali gus menunjukkan bahawa syarikat penerbangan akan terus berdepan tekanan kos.
“Kos operasi kami telah meningkat. Kos operasi naik kira-kira 90 peratus disebabkan harga bahan api. Bergantung kepada harga bahan api pada tahun depan, unjuran menunjukkan harganya masih akan kekal pada paras yang sangat tinggi. Kami yakin harga pada 2026 akan berterusan sepanjang 2027,” katanya.
-- BERNAMA