Empat Bank Pusat ASEAN Meterai MoU Mengenai Rangka Kerja Transaksi Mata Wang Tempatan
KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM), Bank Indonesia (BI), Bank of Thailand (BOT) dan Bangko Sentral ng Pilipinas (BSP) hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) mengenai kerjasama di bawah Rangka Kerja Transaksi Mata Wang Tempatan (LCT).
Dalam satu kenyataan hari ini, BNM memaklumkan MoU baharu ini mewujudkan rangka kerja kerjasama antara keempat-empat bank pusat berkenaan.
Jelasnya, kerjasama tersebut untuk menggalakkan dan memudahkan penggunaan mata wang tempatan bagi penyelesaian transaksi dua hala antara negara-negara yang mengambil bahagian termasuk perdagangan, pelaburan dan transaksi lain yang layak.
Menurut BNM, MoU ini menggantikan MoU dua hala terdahulu mengenai Rangka Kerja Kerjasama untuk Menggalakkan Transaksi Dua Hala dalam Mata Wang Tempatan yang dimeterai antara BNM, BI dan BOT pada Ogos 2023.
"Menerusi galakan penggunaan mata wang tempatan secara lebih meluas dalam transaksi serantau, rangka kerja ini bertujuan meningkatkan kecekapan penyelesaian rentas sempadan.
"Selain itu, ia dapat mengurangkan kos yang berkaitan dengan pertukaran mata wang yang berbilang dan memberikan fleksibiliti yang lebih besar kepada perniagaan serta peserta pasaran lain dalam menguruskan risiko pertukaran asing,” jelasnya.
BNM memberitahu, bank-bank pusat yang mengambil bahagian akan terus bekerjasama untuk memajukan pembangunan dan pelaksanaan Rangka Kerja LCT.
"Inisiatif ini dijangka memperluas transaksi dalam mata wang tempatan secara beransur-ansur bagi menyokong kegiatan ekonomi serta memperkukuh kerjasama kewangan serantau dan daya tahan ekonomi,” jelasnya.
-- BERNAMA