Ringgit Ditutup Kebanyakannya Tinggi Berbanding Mata Wang Utama, Susut Daripada Dolar AS
Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 16 Nov (Bernama) -- Ringgit ditutup kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama dan negara ASEAN lain pada Isnin, namun menyusut berbanding dolar AS berikutan prospek kadar faedah Amerika Syarikat (AS) yang cenderung kepada pendirian yang lebih ketat.
Pada 6 petang, unit tempatan menyusut kepada 4.0915/0960 berbanding dolar AS daripada 4.0845/0890 semasa ditutup Jumaat lepas.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata dolar AS terus menerima sokongan kukuh apabila Indeks Dolar AS (DXY) berada pada paras 103.398 mata menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Rizab Persekutuan AS (Fed) pada Disember.
“Pasaran niaga hadapan telah menunjukkan bahawa kemungkinan kenaikan kadar faedah sebanyak 25 mata asas telah meningkat kepada lebih 100 peratus.
“Persoalannya pada masa ini ialah sama ada kenaikan sebanyak 50 mata asas boleh berlaku pada mesyuarat akan datang. Oleh itu, keadaan ini telah membawa kepada permintaan yang lebih tinggi untuk dolar AS,” katanya kepada Bernama.
Ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Unit tempatan mengukuh berbanding euro kepada 4.5039/5089 daripada 4.5166/5216 semasa ditutup Jumaat lepas, meningkat berbanding pound Britain kepada 5.3955/4014 daripada 5.4046/4106 namun susut berbanding yen Jepun kepada 2.5638/5666 daripada 2.5549/5579.
Ringgit turut diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang negara ASEAN.
Mata wang tempatan meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 223.9/224.3 daripada 224.3/224.6, mengukuh berbanding peso Filipina kepada 6.40/6.41 daripada 6.41/6.42 serta naik berbanding baht Thailand kepada 12.0576/0755 daripada 12.0611/0833.
Bagaimanapun, unit tempatan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1737/1772 daripada 3.1729/1769.
-- BERNAMA