Exsim Hospitality Cadang Beli Menara F Empire City Pada Harga RM226 Juta
KUALA LUMPUR, 16 Nov (Bernama) -- Exsim Hospitality Bhd menerusi anak syarikatnya Blossom Hectares Sdn Bhd (BHSB) memeterai perjanjian opsyen beli dengan Iconic Insight Sdn Bhd bagi memudah cara cadangan pembelian Menara F di Empire City, Damansara Perdana, Selangor pada harga RM226 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu memberitahu harga pembelian yang dicadangkan mewakili diskaun sebanyak RM2 juta atau kira-kira 0.877 peratus berbanding nilai pasaran bangunan itu iaitu RM228 juta.
Menara F kini dalam pembinaan dan dijangka siap pada suku pertama 2027.
Harga pembelian berkenaan akan dijelaskan sepenuhnya secara tunai dan dibiayai menerusi gabungan pinjaman bank serta dana yang dijana secara dalaman.
Menurut Exsim Hospitality, cadangan pembelian itu seiring dengan strateginya untuk mengembangkan aset hospitaliti pemilikan langsung di bawah model perniagaan pemilikan dan kendalian sendiri.
Jelasnya cadangan berkenaan menerusi pembelian di lokasi yang mempunyai potensi pertumbuhan jangka panjang serta peningkatan nilai modal yang menarik.
Setelah selesai pembelian, Menara F akan dimasukkan ke dalam portfolio perniagaan pemilikan dan kendalian sendiri kumpulan itu serta dijangka menyumbang pendapatan berulang sebaik sahaja operasinya bermula.
Syarikat itu memberitahu cadangan pembelian berkenaan tidak dijangka dapat mengubah profil risiko perniagaan kumpulan secara ketara memandangkan kumpulan itu sudah pun terlibat dalam sektor hospitaliti.
-- BERNAMA