Jotun Sasar Kilang Baharu Di Malaysia, Tingkat Pelaburan Di Asia Tenggara
Oleh Zufazlin Baharuddin
SHAH ALAM, 18 Nov (Bernama) -- Syarikat cat dan salutan global dari Norway, Jotun, sedang menyasarkan pembinaan kilang baharu di Malaysia, sejajar dengan penambahan pelaburannya di Asia Tenggara di tengah-tengah peningkatan penggunaan cat.
Pengerusinya, Odd Gleditsch berkata syarikat itu berhasrat untuk membina sebuah kilang baharu di Malaysia memandangkan kemudahan sedia ada di Shah Alam telah beroperasi selama bertahun-tahun.
Pembinaan kilang baharu ini akan mengambil masa sehingga tiga atau empat tahun, kerana ia adalah proses rumit yang melibatkan banyak pihak termasuk pihak berkuasa.
“Bagaimanapun, kami masih belum memuktamadkan keputusan itu,” katanya kepada Bernama semasa pelancaran Ibu Pejabat Serantau Asia Pasifik dan Pusat Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) baharu Jotun di sini hari ini.
Kilang-kilang Jotun di Malaysia telah beroperasi di Shah Alam, Selangor sejak 1985 dan di Nilai, Negeri Sembilan pada 2011.
Gleditsch berkata syarikat itu melihat potensi pertumbuhan yang besar di Asia Tenggara, terutamanya apabila adanya, peningkatan pendapatan, pembandaran dan pembangunan perindustrian sehingga memacu permintaan untuk produk cat yang berkualiti.
Malaysia kekal sebagai pasaran terbesar Jotun di rantau Asia Tenggara dan Pasifik, mencerminkan asas perindustriannya yang agak maju selain persekitaran perniagaan yang stabil.
Gleditsch berkata cat hiasan menyumbang kira-kira 60 peratus daripada jualan Jotun di Asia Tenggara, manakala salutan pelindung, terutamanya yang digunakan dalam struktur keluli dan pusat data, juga mencatatkan pertumbuhan mantap di Asia.
Di peringkat global, cat hiasan kekal sebagai segmen terbesar Jotun, manakala marin, salutan pelindung dan salutan serbuk membentuk tiga lagi segmen perniagaannya.
Gleditsch ketika bercakap mengenai ibu pejabat serantau Asia Tenggara dan Pasifik, serta pusat R&D yang baharu di Malaysia berkata kemudahan itu mewakili pelaburan besar bagi mengukuhkan operasinya di seluruh rantau ini.
Syarikat itu melabur kira-kira RM500 juta dalam kemudahan itu, yang menyatukan ibu pejabat serantau dengan pusat R&D di satu tempat.
Kemudahan itu akan menyokong perniagaan Jotun di Malaysia dan di lapan pasaran lain, terutamanya di Vietnam, Indonesia, Thailand, Filipina, Kemboja, Myanmar, Singapura serta Australia.
"Ini adalah pelaburan yang sangat besar bagi kami, yang akan memacu operasi kami di seluruh rantau," katanya.
Pusat R&D tersebut menempatkan makmal yang dilengkapi dengan instrumen analisis lanjutan, termasuk spektrometer inframerah transformasi Fourier (FTIR), kalorimeter pengimbasan pembezaan (DSC), reometer dan spektrofotometer.
Jotun telah beroperasi di Asia Tenggara sejak 1968. Pengeluar cat itu mempunyai 68 syarikat di 49 negara dan 40 kemudahan pengeluaran di 25 negara. Ia diwakili di lebih daripada 100 buah negara.
-- BERNAMA