Syarikat AS, NTEC Meterai Perjanjian Bekalan Arang Batu Bernilai US$100 Juta Dengan Anak Syarikat TNB
KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Syarikat tenaga dan perlombongan Amerika Syarikat (AS), Navajo Transitional Energy Company (NTEC) menandatangani perjanjian selama tiga tahun bernilai US$100 juta untuk membekalkan arang batu dari lombongnya di selatan Montana kepada anak syarikat Tenaga Nasional Bhd (TNB), iaitu TNB Fuel Services Sdn Bhd, demikian diumumkan White House pada Rabu.
Ini merupakan sebahagian daripada langkah AS untuk mengeratkan lagi hubungan dengan Malaysia.
Presiden Donald Trump membuka pasaran baharu untuk barangan AS dan mewujudkan peluang kepada syarikat negara itu, menurut Washington dalam kenyataan di laman webnya hari ini.
Menurutnya, lawatan Trump selama dua hari ke Filipina untuk Lawatan Negara dan Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 berakhir semalam dalam negara itu terus menyokong pekerjaan di AS dan memperkukuh kepimpinan diplomatik AS di rantau Indo-Pasifik.
“Presiden Trump dan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengumumkan bahawa sebuah konsortium AS akan membangunkan infrastruktur awan Super Intelligence (SI) untuk kerajaan Malaysia melalui program US-ASEAN SI SPARK,” menurutnya.
Trump turut mengumumkan perjanjian komersial dan pelaburan strategik bernilai lebih US$17 bilion untuk syarikat AS yang akan menyokong puluhan ribu pekerjaan di AS, memperkukuh keselamatan serantau yang melindungi AS daripada aktiviti menyalahi undang-undang dan menyokong rantau Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka, sekali gus memberi manfaat ekonomi kepada syarikat, pekerja dan pengguna AS.
-- BERNAMA