Maybank Laksana urus Niaga Pertama MGS Dalam Bentuk Token Digital Di Malaysia
KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Maybank berjaya menyelesaikan urus niaga tokenisasi Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) yang pertama di negara ini menerusi program perintis bersama cabang insuransnya Etiqa Life Insurance Bhd.
Melalui program itu, Maybank dan Etiqa telah melaksanakan urus niaga MGS dalam bentuk token digital, yang menunjukkan bagaimana sekuriti tokenisasi, deposit tokenisasi dan proses penjagaan aset boleh digabungkan dalam satu aliran kerja delivery-versus-payment yang boleh diprogramkan, merangkumi infrastruktur rantaian blok dan konvensional.
Menurut Maybank dalam kenyataan hari ini, bank itu turut menyediakan perkhidmatan penjagaan bagi wang tunai fizikal dan sekuriti pendasar.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Datuk Seri Khairussaleh Ramli berkata tokenisasi merupakan langkah semula jadi dalam mengembangkan perkhidmatan kewangan yang dtawarkan Maybank dan berpotensi mengubah secara asas cara pasaran beroperasi.
Menurutnya langkah itu sekali gus membolehkan pemindahan aset, wang tunai dan pelaksanaan urus niaga dilakukan dengan lebih cekap dalam pasaran kewangan.
“Kami melihat peluang jangka panjang yang besar dalam memperkukuh aliran rentas sempadan memandangkan ASEAN bergerak ke arah integrasi digital yang lebih mendalam melalui inisiatif seperti Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN,” katanya dalam kenyataan sama.
Khairussaleh berkata fasa seterusnya akan memberi tumpuan kepada usaha memperluas infrastruktur Maybank bagi memajukan aplikasi komersial termasuk bon tokenisasi, deposit tokenisasi dan aset digital lain.
“Realisasi visi ini memerlukan kerjasama erat dan kami mengalu-alukan kerjasama dengan pemain teknologi serta peserta industri,” katanya.
-- BERNAMA