Projek Solar CRESS Pertama Malaysa Dijangka Perkukuh Pelaksanaan SREEZ@NCER
ALOR SETAR, 20 Nov (Bernama) -- Pelaksanaan Special Renewable Energy Zone@NCER (SREEZ@NCER) yang diterajui Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) mencatat kemajuan penting dengan bermulanya pembinaan projek solar pertama Malaysia di bawah Skim Pembekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) di Kedah Rubber City (KRC).
Projek yang dibangunkan HLGY Energy Sdn Bhd itu menandakan langkah awal dalam memperkukuh ekosistem tenaga boleh baharu (TBB) yang menyokong pertumbuhan industri dan pelaburan di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).
Ketua Eksekutif NCIA Datuk Mohamad Haris Kader Sultan berkata projek itu merupakan satu pencapaian penting dalam memperkukuh pelaksanaan SREEZ@NCER di Wilayah Utara.
“Projek ini merupakan bukti bahawa SREEZ@NCER bukan sekadar perancangan, tetapi kini diterjemahkan kepada pelaburan dan infrastruktur TBB yang sebenar.
“Permulaan pembinaan projek ini menunjukkan bahawa agenda peralihan tenaga negara boleh dilaksanakan melalui kerjasama strategik yang menyokong pertumbuhan ekonomi dan pembangunan mampan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata loji solar berkapasiti 120.06 megawatt arus ulang-alik (MWac) yang dilengkapi Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) berkapasiti 240.12 megawatt jam (MWh) itu mewakili anggaran nilai pembangunan kasar sebanyak RM500 juta.
Menurutnya projek ini menyokong objektif SREEZ@NCER untuk memperluas akses kepada TBB bagi memenuhi keperluan pelabur dan industri yang semakin memberi keutamaan kepada penyahkarbonan serta amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus.
“SREEZ@NCER memainkan peranan penting dalam menyediakan ekosistem yang menyokong akses kepada tenaga bersih bagi industri dan pelabur.
“Melalui SREEZ@NCER, NCIA sedang meletakkan asas kepada pembangunan ekosistem TBB yang dapat meningkatkan daya saing NCER sebagai destinasi pelaburan masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata usaha berkenaan akan membantu menarik lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi yang selaras dengan aspirasi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) untuk membangunkan ekonomi yang lebih mampan dan berdaya tahan.
Dalam pada itu, Mohamad Haris berkata SREEZ@NCER merupakan inisiatif strategik NCIA yang dibangunkan untuk mewujudkan persekitaran kondusif bagi pelaburan berasaskan TBB dan industri bernilai tinggi.
“Inisiatif ini selaras dengan aspirasi NETR, RMK13 dan Pelan Pembangunan Strategik NCER (SDP) 2026-2030 yang menekankan pembangunan ekonomi rendah karbon serta pertumbuhan mampan.
“SREEZ@NCER ini dijangka menyokong pengembangan ekosistem TBB ke pembangunan strategik NCER yang lain termasuk Chuping Valley Industrial Area (CVIA) di Perlis dan Kedah Science and Technology Park (KSTP),” katanya.
Melalui SREEZ@NCER, NCER berada pada kedudukan yang lebih kukuh untuk menarik pelaburan bernilai tinggi dalam sektor pembuatan maju, semikonduktor, teknologi tinggi dan industri berorientasikan eksport yang memerlukan akses kepada tenaga bersih dan mampan.
-- BERNAMA