BERITA TERKINI   10,000 pelarian Rohingya bakal ditempatkan di Turkiye melalui satu program latihan kemahiran berstruktur - TPM Ahmad Zahid | Ismail Lasim ikrar pertahan Tuanku Muhriz sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang sah | Ismail teruskan khidmat sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan atas titah Tuanku Muhriz | Bantuan Khas Perayaan Aidilfitri RM1,500 kepada penjawat awam negeri Pahang tahun depan - MB  | Bantuan Khas Kewangan dua bulan gaji kepada semua penjawat awam negeri Pahang tahun depan - MB | 

Kewangan Islam Pada Kedudukan Baik, Sokong Keperluan Pelaburan ASEAN Yang Meningkat – Gabenor BNM

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Kewangan Islam berada pada kedudukan yang baik untuk menyokong keperluan pelaburan rantau ini yang semakin meningkat dalam peralihan tenaga, daya tahan iklim dan pembangunan infrastruktur mampan, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.

Menurut beliau rantau ini memerlukan pelaburan yang besar bagi menyokong keutamaan berkenaan dengan kewangan Islam menawarkan pelbagai penyelesaian pembiayaan termasuk sukuk dan struktur perkongsian risiko.

“Instrumen ini dapat membantu menggembleng modal merentasi sempadan, menyokong peluang pelaburan baharu dan memperkukuh integrasi serantau dalam ASEAN,” katanya dalam ucaptama pada Forum Kewangan Islam Filipina 2026 di Manila hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Gabenor BNM itu memaklumkan satu lagi bidang yang menawarkan peluang ialah ekosistem halal ASEAN yang semakin berkembang dan nilainya diunjurkan menghampiri US$5 trilion menjelang 2030.

Beliau berkata peranan rantau ini yang semakin penting dalam perdagangan halal global menawarkan peluang besar kepada perniagaan untuk menyertai rantaian bekalan serantau dan menembusi pasaran antarabangsa.

“Merealisasikan potensi ini memerlukan penggemblengan modal bagi membantu perniagaan berkenaan berkembang dan merebut peluang merentasi sempadan,” jelasnya.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Pada masa sama, Abdul Rasheed memberitahu BNM dan Bangko Sentral ng Pilipinas (BSP) sedang mengambil langkah untuk memajukan keutamaan bersama dengan saling berkongsi pengalaman, merebut peluang baharu serta mengharungi cabaran yang muncul secara bersama-sama.

“Kami berharap komitmen ini dapat diterjemahkan kepada kerjasama konkrit dalam pelbagai bidang termasuk kewangan Islam,” katanya.

Beliau memaklumkan pasaran Malaysia dan Filipina mempunyai kekuatan tersendiri dan berbeza, justeru hubungan kedua-dua pasaran itu dapat memperkukuh aliran kepakaran, pelaburan dan peluang antara kedua-dua ekonomi.

Beliau berkata pemain industri juga boleh meneroka lebih banyak peluang rentas sempadan seiring dengan perkembangan kedua-dua pasaran. 

-- BERNAMA