PM Anwar Berlepas Pulang Selepas Hadiri Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC Di China
Daripada Kisho Kumari Sucedaram
SHENZHEN (China), 20 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berlepas pulang ke tanah air hari ini selepas mengakhiri lawatan kerja selama tiga hari ke China, yang menyaksikan beliau menghadiri Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) ke-33 di sini.
Pesawat khas yang membawa Anwar berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Shenzhen Bao’an pada 1.43 tengah hari waktu tempatan (sama dengan waktu di Malaysia).
Lawatan kerja dari 18 hingga 20 November itu memberi peluang kepada Malaysia untuk memperkukuh hubungan diplomatik dan kerjasama ekonomi dengan rakan serantau dan antarabangsa, terutamanya dalam menghadapi perubahan landskap geopolitik dan ekonomi global.
Selepas menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-49 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan di Manila, Anwar berlepas ke Shenzhen untuk Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC apabila beliau telah menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif APEC dan Pernyataan Negara pada mesyuarat pemimpin.
Penyertaan Perdana Menteri dalam program APEC mencerminkan komitmen Malaysia untuk memperkukuh kerjasama ekonomi serantau, menggalakkan perdagangan dan pelaburan serta dialog dalam kalangan ekonomi di rantau Asia Pasifik.
Sepanjang berada di Shenzhen, Anwar turut mengadakan beberapa pertemuan, termasuk dengan Presiden China Xi Jinping, Presiden Rusia Vladimir Putin dan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, Ketua Eksekutif Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong John Lee Ka-chiu, Presiden Mexico Claudia Sheinbaum dan Perdana Menteri New Zealand Christopher Luxon.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri Tan Sri Amran Mohamed Zin.
Anggota delegasi lain termasuk Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan setiausaha sulit utama kepada Perdana Menteri Datuk Shahrol Anuwar Sarman.
-- BERNAMA