Cyberview, GBS Malaysia Meterai MoU Bagi Perkukuh Cyberjaya Sebagai Hab GBS
KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Cyberview Sdn Bhd (Cyberview) dan Majlis Perkhidmatan Perniagaan Global Digital Malaysia (GBS Malaysia) menjalin satu kerjasama strategik untuk menarik pelaburan perkhidmatan perniagaan global (GBS) bernilai tinggi ke Cyberjaya.
Kerjasama itu dimeterai ketika sektor GBS sedang berkembang dengan pesat di Malaysia, dengan pelaburan tahunan meningkat lebih empat kali ganda kepada RM9.87 bilion antara 2022 dan 2024.
Majlis pertukaran memorandum persefahaman (MoU) itu berlangsung di Sidang Kemuncak Global GBS 2026 yang diadakan di Pusat Konvensyen KLGCC, sambil disaksikan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor bagi Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti, Ng Sze Han.
Bersempena dengan pertukaran MoU itu, Cyberview, GBS Malaysia dan Invest Selangor turut melancarkan laporan industri bersama bertajuk ‘Cyberjaya Powers Next-Gen Global Business Services’ yang menggariskan kesediaan hab teknologi itu untuk menampung operasi perniagaan termaju yang dipacu teknologi.
Dalam satu kenyataan, Cyberview menjelaskan bahawa menerusi MoU itu ia mewujudkan kerjasama merentasi empat tonggak utama iaitu, permudahan pelaburan menerusi saluran khusus bagi ahli GBS Malaysia untuk melaksanakan projek strategik di Cyberjaya dan penglibatan industri melalui inisiatif perkongsian pengetahuan dan dialog strategik.
Ia turut merangkumi program inovasi yang menghubungkan syarikat GBS dengan penyelesaian teknologi ‘Made in Cyberjaya’ bagi menyokong pertumbuhan dan pengkomersialan syarikat pemula, serta pembangunan bakat menerusi acara hackathon, kempen pengambilan pekerja, forum dan pameran kerjaya.
Sementara itu, Pengerusi GBS Malaysia Datuk Raymond Davadass berkata sektor itu sedang mengalami perubahan struktur ke arah keupayaan khusus.
“Industri GBS Malaysia sedang memasuki fasa baharu, yang mana pertumbuhan akan terhasil daripada penciptaan nilai dan kepakaran khusus.
“Kerjasama ini akan membuka peluang baharu kepada ahli kami dan meningkatkan daya saing Malaysia sebagai destinasi GBS terkemuka di rantau ini,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Menurut laporan industri bersama, sektor GBS global sedang berubah melangkaui perkhidmatan perkongsian tradisional ke arah fungsi bernilai lebih tinggi, seperti kecerdasan buatan (AI), analisis perniagaan, automasi, pengurusan risiko dan transformasi perusahaan.
Laporan itu turut menyatakan bahawa Malaysia merekodkan sebanyak 749 syarikat GBS yang aktif menjelang separuh pertama 2025, dengan komitmen baharu berjumlah RM4.99 bilion yang dijangka mewujudkan 5,632 peluang pekerjaan.
Selain itu, laporan tersebut juga menjelaskan bahawa Cyberjaya berada di kedudukan yang baik untuk menerajui fasa seterusnya bagi peranan yang diperkasakan oleh AI dalam transformasi proses, analisis dan khidmat nasihat pakar.
Hal tersebut disokong oleh asas operasi perkhidmatan antarabangsa yang mantap, kemudahan pejabat, kumpulan bakat serta lebih 20 pusat data, termasuk pusat data berskala besar.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cyberview Kamarul Ariffin Abdul Samad berkata sebagai pemaju hab teknologi, Cyberjaya telah membina ekosistem dan infrastruktur yang diperlukan untuk menyokong evoluasi industri tersebut.
“Menerusi kerjasama kami dengan GBS Malaysia dan Invest Selangor, kami membuka laluan yang lebih jelas bagi pelaburan, inovasi, dan bakat agar Cyberjaya menjadi destinasi pilihan untuk operasi GBS generasi akan datang serta Pusat Keupayaan Global,” katanya.
CEO Invest Selangor Datuk Hasan Azhari Idris pula berkata Cyberjaya kekal sebagai pusat kepada aspirasi negeri untuk menarik pelaburan bernilai tinggi dan dipacu teknologi.
“Cyberjaya merupakan teras kepada aspirasi Selangor untuk menarik pelaburan berteraskan teknologi yang bernilai tinggi.
“Laporan ini memberikan bukti jelas mengenai peluang dalam sektor GBS dan mengukuhkan kedudukan Cyberjaya serta Selangor sebagai lokasi strategik bagi operasi serantau dan global,” katanya.
-- BERNAMA