RAM Ratings Naikkan Penarafan Entiti RHB Bank Kepada AAA
KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- RAM Rating Services Bhd telah menaik taraf penarafan institusi kewangan RHB Bank Bhd, RHB Islamic Bank Berhad dan RHB Investment Bank Bhd kepada AAA/Stabil/P1 daripada AA1/Positif/P1.
RHB Bank melalui satu kenyataan berkata peningkatan itu mencerminkan profil pembiayaan kumpulan yang diperkukuh, permodalan yang mantap, kualiti aset yang sihat dan keuntungan yang mampan, mengesahkan keberkesanan pelaksanaan strategi berdisiplin RHB serta pengurusan kewangan yang berhemat.
Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif RHB Banking Group, Datuk Mohd Rashid Mohamad berkata penarafan itu membuktikan pelaksanaan berdisiplin selama bertahun-tahun, pengurusan risiko yang berhemat dan, terutama sekali, kepercayaan yang terus diberikan oleh pelanggan, pemegang saham serta rakan kongsinya dalam RHB.
“Kami amat menghargai RAM Ratings atas pengiktirafan ini, dan kepada pengawal selia, rakan kongsi perniagaan serta kakitangan kami, keyakinan dan komitmen mereka telah membolehkan ini semua.
“Ini adalah peristiwa penting untuk semua orang di RHB, dan ia mengukuhkan azam kami untuk terus memperoleh kepercayaan dengan memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan kami selain menyokong pertumbuhan serta aspirasi komuniti dan pasaran yang kami layani,” katanya.
-- BERNAMA