Celestica Perluas Pusat Reka Bentuk Di Pulau Pinang, Pacu Infrastruktur AI Global, Inovasi
GEORGE TOWN, 20 Nov (Bernama) -- Celestica Inc iaitu penyedia infrastruktur pusat data global dan penyelesaian teknologi termaju sedang memperluas Pusat Reka Bentuk Penyelesaian Platform Perkakasan (HPS) miliknya di Pulau Pinang.
Langkah itu sekali gus memperkukuh peranan penting Malaysia dalam membangunkan infrastruktur pusat data generasi akan datang untuk penyedia perkhidmatan awan berskala besar global.
Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat itu menyatakan peluasan berkenaan akan memberi peluang kepada tenaga kejuruteraan tempatan untuk menyumbang secara langsung kepada program teknologi global yang kompleks susulan permintaan terhadap infrastruktur kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran awan yang semakin pesat.
“Ditubuhkan pada 2023, kemudahan seluas 4,645.152 meter persegi di Bayan Lepas itu kini mempunyai 210 pekerja yang memberi tumpuan kepada bidang kejuruteraan perkakasan dan perisian.
“Pusat itu menyediakan penyelesaian menyeluruh merangkumi seni bina sistem dan elektrik berkelajuan tinggi, integriti isyarat termaju, penghantaran tenaga, kejuruteraan mekanikal dan terma, perisian terbenam, integrasi sistem serta pengesahan dan validasi produk,” jelasnya.
Celestica menjana pendapatan sebanyak US$12.39 bilion (US$1 = RM4.11) pada 2025 dengan perniagaan HPS menyumbang lebih 40 peratus daripada jumlah pendapatannya.
Pusat HPS Celestica di Pulau Pinang mereka bentuk teknologi termaju termasuk suis berkelajuan 1.6 terabit sesaat (1.6T) selain menghimpunkan kepakaran dalam bidang sambungan berkelajuan tinggi, integriti isyarat, bekalan tenaga dan keupayaan penyejukan yang amat penting bagi menyokong beban kerja AI yang semakin mencabar.
“Pusat itu juga telah memperoleh 18 paten Amerika Syarikat pada 2026,” tambah Celestica.
Sementara itu, Naib Presiden Penyelesaian Perkakasan Celestica Marwan Naboulsi berkata pasukan di Pulau Pinang mempunyai keupayaan menyeluruh yang merangkumi keseluruhan proses pembangunan produk.
“Kerja yang kami laksanakan di Malaysia bukan sekadar menyokong projek yang dibangunkan di tempat lain. Pasukan kami di Malaysia mempunyai keupayaan menyeluruh daripada peringkat konseptual seni bina sistem hingga pengeluaran besar-besaran,” katanya.
Menurut Celestica pemilikan menyeluruh terhadap reka bentuk dan pembangunan ini membolehkan jurutera tempatan menerajui setiap fasa daripada peringkat awal seni bina sistem hingga prototaip, pengujian dan pengoptimuman.
Ketua Pusat Reka Bentuk HPS Celestica di Pulau Pinang Jason Zhang pula berkata, pihaknya sedang membentuk masa depan pusat data kritikal untuk AI, pengkomputeran awan dan awan hibrid dari Malaysia.
Beliau memberitahu, peranan syarikat juga bukan sekadar sebagai penyokong.
“Kami menerajui pembangunan teknologi teras iaitu daripada seni bina pada peringkat rak hingga sistem bekalan tenaga dan penyejukan dengan menghasilkan reka bentuk 18 produk pusat data canggih dalam tempoh hanya tiga tahun,” katanya.
Menurut kenyataan berkenaan, Celestica juga merancang untuk meningkatkan kapasiti tenaga makmal AI di Pulau Pinang kepada 10 megawatt bagi menyokong beban kerja pembelajaran mesin berskala besar yang intensif.
Organisasi kejuruteraan globalnya sedang mengendalikan lebih 50 program merentasi pelbagai pelanggan penyedia perkhidmatan awan berskala besar.
Sementara itu, Dell’Oro Group menyatakan Celestica menduduki tempat pertama dari segi bahagian pasaran global bagi suis Ethernet AI berkelajuan ultra tinggi pada suku pertama dan kedua 2026.
Selain Pusat Reka Bentuk HPS, Celestica turut mengambil pekerja dalam kalangan jurutera, juruteknik dan golongan profesional dalam bidang kewangan, sumber manusia, teknologi maklumat serta rantaian bekalan bagi menyokong operasi sembilan kemudahannya di Kedah, Pulau Pinang dan Johor.
Syarikat itu yang kini mempunyai 7,000 pekerja di seluruh negara baru-baru ini disenaraikan antara 100 Syarikat Terbaik untuk Bekerja di Asia Tenggara 2026 oleh Fortune.
-- BERNAMA