BERITA TERKINI   Bersatu tidak akan bertanding pada PRN Sarawak - Setiausaha Agung | Keuntungan bersih Telekom Malaysia Bhd menyusut kepada RM494.04 juta pada suku ketiga 2026, berbanding RM686.26 juta pada suku yang sama tahun lepas | Banjir: 153 penduduk daripada 42 keluarga dipindahkan di Sook, Sabah - JPBN Sabah | MCMC saman Google LLC, tuntut ganti rugi RM600 juta berhubung dakwaan gagal tangani kandungan memudaratkan di YouTube | Untung bersih CIMB Group menurun kepada RM1.88 bilion pada suku ketiga 2026 daripada RM2.08 bilion tahun lepas | 

MAG Beli 10 Pesawat Boeing 787 Dreamliner, Dengan Pilihan Enam Pesawat Tambahan - Kapten Nasaruddin

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Malaysia Aviation Group (MAG) membeli 10 pesawat Boeing 787 Dreamliner secara terus daripada Boeing dengan pilihan enam buah pesawat tambahan, sebagai sebahagian daripada strategi pemodenan kumpulan pesawatnya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Kapten Nasaruddin A Bakar berkata Malaysia Airlines akan menjadi syarikat penerbangan pertama di Malaysia yang mengendalikan varian pesawat 787 Dreamliner itu. 

Katanya pemilihan itu melalui proses penilaian yang menyeluruh dan pesawat 787 Dreamliner merupakan pilihan yang paling sesuai untuk syarikat penerbangan nasional.

Ad Banner

“Ia menawarkan kapasiti, fleksibiliti dan kecekapan yang diperlukan untuk menyokong pertumbuhan jangka panjang kami.

“Lebih penting lagi, ia membolehkan kami untuk terus meningkatkan pengalaman yang ditawarkan kepada pelanggan selain memperkukuh daya saing kami dalam pasaran antarabangsa utama,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada majlis pertukaran dokumen pembelian pesawat badan lebar untuk penerbangan jarak jauh Malaysia Aviation Group di sini.

Ad Banner
Ad Banner

Kapten Nasaruddin berkata pembelian pesawat itu juga akan menyokong penggantian secara berperingkat tujuh buah pesawat Airbus A350 milik MAG, yang dijangka dihentikan penggunaannya antara 2032 dan 2035, sebagai sebahagian daripada program pemodenan pesawat kumpulan itu yang lebih menyeluruh.

Dikuasakan oleh enjin GEnx daripada GE Aerospace, pesawat itu dijadualkan untuk serahan antara 2032 dan 2035.

Turut hadir menyaksikan majlis pertukaran dokumen itu ialah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

-- BERNAMA