BERITA TERKINI   Bersatu tidak akan bertanding pada PRN Sarawak - Setiausaha Agung | Keuntungan bersih Telekom Malaysia Bhd menyusut kepada RM494.04 juta pada suku ketiga 2026, berbanding RM686.26 juta pada suku yang sama tahun lepas | Banjir: 153 penduduk daripada 42 keluarga dipindahkan di Sook, Sabah - JPBN Sabah | MCMC saman Google LLC, tuntut ganti rugi RM600 juta berhubung dakwaan gagal tangani kandungan memudaratkan di YouTube | 

Alliance Bank Catat Untung Bersih Suku Kedua Lebih Tinggi Sebanyak RM208.46 Juta

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Keuntungan bersih Alliance Bank Malaysia Bhd (Alliance Bank) meningkat 0.9 peratus kepada RM208.46 juta pada suku kedua (S2) yang berakhir pada 30 September 2026 berbanding RM206.56 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas. 

Menurut bank itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, peningkatan itu didorong oleh pendapatan yang lebih tinggi dan kadar cukai yang lebih rendah, sebahagiannya diimbangi oleh perbelanjaan operasi yang lebih tinggi serta peruntukan bagi jangkaan kerugian kredit.

Perolehan melonjak kepada RM648.50 juta bagi suku di bawah kajian berbanding RM626.23 juta sebelumnya. 

Ad Banner

Bank itu menjelaskan bahawa pendapatan faedah bersih meningkat sebanyak RM37.9 juta atau 7.7 peratus kepada RM532.9 juta, didorong oleh pertumbuhan dalam pinjaman, pendahuluan dan pembiayaan.

Margin faedah bersihnya (NIM) berada pada paras 2.19 peratus berbanding 2.32 peratus setahun lepas.

Pendapatan operasi lain merosot sebanyak RM15.6 juta atau 11.9 peratus, terutamanya disebabkan oleh pendapatan perbendaharaan dan pelaburan yang lebih rendah, serta pendapatan daripada caj perkhidmatan dan yuran yang lebih rendah.

Ad Banner
Ad Banner

“Ini diimbangi sebahagiannya oleh pendapatan pengurusan kekayaan yang lebih tinggi,” menurut bank itu.

Menurut Alliance Bank, jumlah pendapatan meningkat sebanyak RM22.3 juta atau 3.6 peratus kepada RM648.5 juta, manakala perbelanjaan operasi meningkat sebanyak RM18.1 juta atau 6.1 peratus, terutamanya disebabkan oleh perbelanjaan pentadbiran dan am serta perbelanjaan penubuhan dan kakitangan yang lebih tinggi.

Bank tersebut mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak 11.88 sen sesaham ke atas 1.73 bilion saham biasa, berjumlah kira-kira RM205.55 juta bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Mac 2027, yang akan dibayar pada 30 Disember 2026.

Bagi tempoh enam bulan berakhir pada 30 September 2026, Alliance Bank mencatatkan keuntungan bersih lebih tinggi sebanyak RM456.78 juta, meningkat daripada RM405.26 juta pada tahun sebelumnya.

Perolehan meningkat kepada RM1.27 bilion daripada RM1.24 bilion setahun lepas.

“Kumpulan ini kekal optimis dan berhati-hati terhadap prospeknya bagi tahun kewangan 2027, disokong oleh kedudukan modalnya yang kukuh, lembaran imbangan yang berdaya tahan dan pelaksanaan yang berdisiplin.

“Kumpulan ini juga berada dalam kedudukan yang baik untuk mengharungi ketidakpastian luaran, sambil terus melabur dalam pertumbuhan, mengukuhkan hubungan dengan pelanggan, serta memberikan pulangan mampan kepada pemegang saham,” menurut bank itu lagi.

-- BERNAMA