BERITA TERKINI   Rasuah masalah sistemik, perlu terus dibanteras dengan tegas - PM Anwar | PM Anwar tegaskan kadar yuran rawatan asas di fasiliti kesihatan awam perlu dikekalkan agar rakyat tidak terbeban | PM Anwar setuju cadangan masukkan elemen pendidikan kesihatan mental dalam kurikulum sekolah bantu pelajar urus tekanan | Kerajaan akan kaji cadangan penubuhan dana kekayaan AI untuk manfaat rakyat Malaysia - PM Anwar | PM Anwar jamin hak penduduk asal terus dipertahankan menerusi RUU Pembaharuan Semula Bandar (URA) | 

Sindiket Dadah: MINDEF Utamakan Keselamatan Anggota TUDM Terlibat Tangkap Suspek - Adly

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Kementerian Pertahanan (MINDEF) melindungi keselamatan anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terlibat menahan suspek berkaitan sindiket pengedaran dadah menggunakan kemudahan pengangkutan ketenteraan di Lembah Klang dan Labuan baru-baru ini.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata perlindungan juga akan diberikan kepada semua anggota yang memberi kerjasama kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam melakukan siasatan lanjut.

“Siasatan itu memang kita akan berikan kerjasama tetapi pada masa sama kita tahu bahawa tanggungjawab kita di peringkat TUDM, pegawai-pegawai kita yang melakukan tangkapan ini juga, keselamatan mereka juga kita bincangkan, kerana ini bukan satu perkara kecil.

Ad Banner

“Kita bukan sahaja melihat prosedur yang kita ada tetapi penilaian kita juga buat masa ini adalah untuk menjaga keselamatan mereka,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2027 dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2027 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pertahanan.

Minggu lepas, polis membongkar sindiket pengedaran dadah menggunakan kemudahan pengangkutan ketenteraan dalam operasi di Lembah Klang dan Labuan, yang menyaksikan rampasan 96.64 kilogram dadah disyaki jenis methamphetamine (syabu) bernilai RM4.83 juta serta 6.98 kilogram cecair bahan kimia.

Ad Banner
Ad Banner

Mengenai perkembangan terkini kes itu, Adly berkata sebanyak 13 individu ditahan setakat ini dengan tujuh daripadanya merupakan pegawai dan anggota TUDM terdiri daripada tiga kapten, dua leftenan, seorang pegawai waran udara II dan seorang koperal udara.

Beliau berkata selain siasatan jawatankuasa peringkat dalaman, kementerian akan memberi laluan kepada  PDRM untuk menjalankan siasatan terperinci tanpa berlakunya kebocoran maklumat agar jaringan sindiket dadah berkenaan dapat dilumpuhkan sepenuhnya.

Pada sesi sama, Adly memaklumkan cadangan untuk melanjutkan tempoh Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) kepada 90 hari atau 180 hari berbanding 45 hari ketika ini memerlukan penelitian lanjut termasuk berkaitan kemampuan kewangan kerajaan.

“Untuk PLKN selepas ini, setakat ini kerajaan sudah mengenal pasti 13 lokasi kem tentera yang mana ada yang telah dan sedang dinaik taraf secara berperingkat melibatkan peruntukan berjumlah RM80 juta,” katanya.

Dewan Rakyat kemudian meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus dan pembangunan 2027 berjumlah RM22.108 bilion yang diperuntukkan kepada MINDEF dalam Belanjawan 2027 dengan lebih suara bersetuju selepas dibahas 23 Ahli Parlimen.

-- BERNAMA