BERITA TERKINI   Bersatu tidak akan bertanding pada PRN Sarawak - Setiausaha Agung | Keuntungan bersih Telekom Malaysia Bhd menyusut kepada RM494.04 juta pada suku ketiga 2026, berbanding RM686.26 juta pada suku yang sama tahun lepas | Banjir: 153 penduduk daripada 42 keluarga dipindahkan di Sook, Sabah - JPBN Sabah | MCMC saman Google LLC, tuntut ganti rugi RM600 juta berhubung dakwaan gagal tangani kandungan memudaratkan di YouTube | 

Anak Syarikat Vantris Energy Dapat Kerja-kerja Luar Pesisir Petronas Carigali Bernilai RM475 Juta

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh tidak langsung Vantris Energy Bhd, VTEB Offshore Sdn Bhd  telah memperoleh dua pesanan kerja bernilai RM475 juta daripada Petronas Carigali Sdn Bhd untuk penyediaan perkhidmatan pengangkutan dan pemasangan luar pesisir di Malaysia.

Syarikat itu melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata pesanan kerja itu diterima pada 5 Ogos dan 6 Okt 2026, di bawah kontrak sedia ada bagi penyediaan pengangkutan serta pemasangan kemudahan luar pesisir.

Pesanan kerja itu bermula pada suku ketiga tahun kewangan syarikat berakhir 31 Jan 2027 dan dijangka selesai menjelang suku keempat 31 Januari 2028, katanya. 

Ad Banner

Mengulas mengenai anugerah tersebut, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Vantris Energy, Louay Laham berkata Malaysia kekal sebagai pasaran teras bagi kumpulan itu.

“Ketika kami melaksanakan strategi kumpulan, kami memberi tumpuan bukan sahaja ke arah mengembangkan tempahan dalam tangan tetapi untuk membina portfolio kerja yang sejajar dengan kekuatan kami, mencipta nilai mampan selain mengukuhkan daya tahan jangka panjang perniagaan,” katanya. 

Vantris Energy juga berkata arahan kerja tertakluk kepada pelbagai faktor risiko, termasuk perubahan dalam persekitaran ekonomi, kawal selia dan geopolitik, serta risiko berkaitan operasi dan pelaksanaan.

Ad Banner
Ad Banner

"Syarikat akan melaksanakan langkah yang sesuai untuk mengurus dan mengurangkan risiko sedemikian, sambil mengekalkan komitmennya terhadap standard kualiti, kesihatan, keselamatan, keselamatan, kemampanan termasuk pematuhan alam sekitar yang tinggi," katanya.

Vantris Energy menambah bahawa tiada pengarah syarikat, pemegang saham utama atau orang yang mempunyai kaitan dengan mereka mempunyai sebarang kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam pemberian pesanan kerja itu.

“Lembaga pengarah Vantris Energy berpendapat bahawa penerimaan pesanan kerja ini adalah demi kepentingan terbaik syarikat,” katanya lagi.

-- BERNAMA