BERITA TERKINI   Bersatu tidak akan bertanding pada PRN Sarawak - Setiausaha Agung | Keuntungan bersih Telekom Malaysia Bhd menyusut kepada RM494.04 juta pada suku ketiga 2026, berbanding RM686.26 juta pada suku yang sama tahun lepas | Banjir: 153 penduduk daripada 42 keluarga dipindahkan di Sook, Sabah - JPBN Sabah | MCMC saman Google LLC, tuntut ganti rugi RM600 juta berhubung dakwaan gagal tangani kandungan memudaratkan di YouTube | 

Untung Bersih Telekom Malaysia Susut Kepada RM494.04 Juta Pada Suku Ketiga

KUALA LUMPUR, 25 Nov -- Keuntungan bersih Telekom Malaysia Bhd (TM) susut kepada RM494.04 juta pada suku ketiga yang berakhir pada 30 Sept, 2026 daripada RM686.26 juta pada suku yang sama tahun lepas.

Bagaimanapun, perolehan meningkat 0.3 peratus kepada RM3.00 bilion daripada RM2.99 bilion pada suku sama tahun lepas disokong oleh pertumbuhan dalam segmen perniagaan kepada pengguna serta sumbangan yang lebih tinggi daripada penyelesaian digital dan perkhidmatan telekomunikasi lain.

Bagi tempoh sembilan bulan pertama yang berakhir 30 Sept, 2026, keuntungan bersih penyedia perkhidmatan telekomunikasi itu merosot kepada RM1.18 bilion daripada RM1.49 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas manakala perolehan naik kepada RM8.89 bilion daripada RM8.61 bilion.

Ad Banner

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu menyatakan pertumbuhan perolehan disokong oleh sumbangan lebih tinggi daripada semua segmen pelanggan, dipacu oleh permintaan berterusan terhadap perkhidmatan ketersambungan, penyelesaian digital dan perkhidmatan telekomunikasi lain.

TM memberitahu perbezaan keuntungan bersih tahun ke tahun bagi suku ketiga dan tempoh sembilan bulan pertama sebahagian besarnya mencerminkan keuntungan nilai saksama daripada pelaburan kumpulan dalam sebuah dana teknologi serta caj cukai yang lebih rendah yang direkodkan pada suku dan tempoh sama tahun lepas.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM Datuk Amar Huzaimi Md Deris berkata prestasi kumpulan bagi tempoh sembilan bulan pertama menunjukkan keupayaannya mengekalkan pertumbuhan perolehan merentas semua segmen perniagaan meskipun berdepan pasaran yang kompetitif.

Ad Banner
Ad Banner

Bersandarkan kemajuan ini, katanya, TM terus memperkukuh penawaran perkhidmatan bersepadu bagi memberi nilai tambah kepada pengguna serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Selain itu ia memperluas penyelesaian pengkomputeran awan, keselamatan siber, Perkhidmatan Pintar dan kecerdasan buatan (AI) bagi mempercepat perubahan digital perusahaan dan kerajaan.

“Kami juga telah menerajui usaha dan memperoleh permintaan jangka panjang daripada penyedia perkhidmatan skala besar bagi penyelesaian pusat data yang saling berhubung secara menyeluruh serta ketersambungan rentas sempadan.

“Ia menghubungkan kemudahan di Malaysia dengan pusat data di Singapura dan pasaran utama serantau melalui rangkaian darat serta ekosistem kabel dasar laut kami yang luas,” katanya.

Melangkah ke hadapan, TM memaklumkan pihaknya akan mengekalkan panduan bagi tahun kewangan 2026 untuk pertumbuhan perolehan pada kadar satu digit rendah manakala keuntungan sebelum faedah dan cukai (EBIT) dijangka kekal pada paras yang hampir sama seperti tahun kewangan 2025.

Kumpulan itu turut menyemak semula panduan perbelanjaan modal (CAPEX) berbanding hasil kepada 16 hingga 18 peratus daripada 18 hingga 20 peratus sebelum ini, mencerminkan peningkatan kecekapan dalam reka bentuk infrastruktur, pergerakan kadar pertukaran asing yang menggalakkan serta penjadualan semula beberapa pelaburan ke 2027.

Lembaga pengarah turut mengisytiharkan dividen interim ketiga sebanyak 10.0 sen sesaham, menjadikan jumlah dividen terkumpul bagi tempoh sembilan bulan pertama 2026 sebanyak 23.5 sen sesaham dengan jumlah pembayaran sebanyak RM901.9 juta.

-- BERNAMA