Untung Bersih Sunway Susut Kepada RM314.05 Juta Pada Suku Ketiga
KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Sunway Bhd mencatatkan keuntungan bersih lebih rendah kepada RM314.05 juta pada suku ketiga yang berakhir 30 Sept, 2026 daripada RM338.13 juta pada suku sama tahun sebelumnya.
Perolehan kumpulan bagaimanapun meningkat 18 peratus kepada RM3.02 bilion daripada RM2.56 bilion sebelumnya dipacu oleh sumbangan lebih tinggi daripada kebanyakan segmen perniagaan kecuali segmen pembangunan hartanah dan pembinaan.
Menurutnya, perolehan daripada segmen pelaburan hartanah naik 9.2 peratus kepada RM300.6 juta pada suku semasa dipacu oleh sumbangan daripada Sunway Wangsa Mall susulan pengambilalihan MCL Group yang kini dijenamakan semula sebagai Sunway MCL serta permulaan operasi Sunway Square Mall dan Office Tower.
“Segmen penjagaan kesihatan mencatatkan perolehan sebanyak RM738.3 juta dan keuntungan sebelum cukai berjumlah RM119.1 juta pada suku semasa berbanding bahagian keuntungan bersih sebanyak RM51.4 juta pada suku sama tahun kewangan sebelumnya.
“Prestasi segmen itu mencerminkan perubahan dalam kaedah perakaunan susulan penyenaraiannya pada 18 Mac, 2026,” jelasnya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Sunway turut memaklumkan bahawa hasil daripada segmen perdagangan dan pembuatan meningkat 17.2 peratus kepada RM523.3 juta pada suku semasa daripada RM446.5 juta pada suku sama tahun kewangan sebelumnya iaitu peningkatan sebanyak RM76.7 juta.
Ia menyatakan bahawa prestasi kewangan yang lebih kukuh pada suku semasa itu didorong terutamanya oleh peningkatan jualan khususnya dalam bahagian automotif yang menyaksikan perolehan daripada jenama Zeekr dan Dongfeng meningkat lebih daripada 50 peratus.
“Prestasi ini turut disokong oleh bahagian farmaseutikal, Sunway Multicare yang mencatatkan pertumbuhan perolehan sebanyak 21.8 peratus disumbangkan oleh peluasan rangkaian cawangannya kepada 138 cawangan pada suku semasa daripada 115 cawangan pada suku sama tahun lepas,” jelasnya.
Bagi tempoh sembilan bulan pertama yang berakhir 30 Sept, 2026, kumpulan itu melaporkan keuntungan bersih lebih tinggi iaitu kepada RM10.04 bilion daripada RM801.64 juta sebelumnya manakala perolehan menokok kepada RM8.49 bilion daripada RM7.49 bilion pada tahun sebelumnya.
Mengenai prospek, lembaga pengarah kekal optimis secara berhati-hati terhadap prestasi kumpulan bagi baki tahun kewangan 2026.
Ia disokong oleh jualan hartanah belum dibilkan yang kukuh, peningkatan kapasiti perkhidmatan penjagaan kesihatan, nilai perolehan kontrak pembinaan pada paras tertinggi serta perniagaan berpendapatan berulang yang berdaya tahan.
Kesemua faktor ini memberikan keterlihatan pendapatan yang kukuh dan asas yang mantap bagi pertumbuhan berterusan.
-- BERNAMA