HAVI Dari AS Perkukuh Operasi Di Malaysia, Lancar Hab Teknologi Pertamanya Di Asia
KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Syarikat pengurusan rantaian bekalan global yang berpangkalan di Amerika Syarikat, HAVI Group, LP (HAVI) mengukuhkan lagi operasinya di Malaysia dengan pelancaran hab teknologi pertamanya di Asia, HAVI TechHUB Kuala Lumpur.
Presiden HAVI, Neil Humphrey berkata pengembangan itu akan memperkukuh keupayaan syarikat untuk menyediakan khidmat kepada pelanggan, memacu inovasi, serta mengurus rantaian bekalan global yang semakin kompleks.
“Teknologi semata-mata masih tidak mencukupi. Ya, teknologi boleh membantu kita bergerak lebih pantas, melihat lebih jauh, dan mengautomasikan lebih banyak perkara. Namun, ia tidak boleh menggantikan pertimbangan, sifat ingin tahu, atau kepercayaan. Dan sudah tentu, ia tidak boleh menggantikan manusia,” katanya pada majlis pelancaran tersebut, di sini, hari ini.
Humphrey berkata hab di Kuala Lumpur itu juga akan menyediakan peluang kepada golongan profesional Malaysia untuk menangani cabaran di peringkat antarabangsa, membina kerjaya global, serta menyumbang kepada transformasi syarikat tersebut.
Ketua pegawai digital dan maklumat HAVI, Reto Sahil, yang juga merupakan pengarah urusan HAVI Global TechHUB berkata Malaysia menonjol dari segi keupayaan digitalnya, kesalinghubungan, kestabilan, serta ekosistem perniagaan yang mantap, dan yang paling utama, rakyatnya.
“Individu yang kami temui di sini bersifat ingin tahu, bercita-cita tinggi, berupaya menyesuaikan diri, serta berkemampuan untuk bekerja merentasi pelbagai budaya dan perspektif.
“Kemahiran teknikal boleh menghasilkan sesuatu penyelesaian, perspektif yang pelbagai pula boleh menjadikannya lebih baik,” katanya.
Hab tersebut menghimpunkan kepakaran dalam kejuruteraan perisian, pengkomputeran awan, keselamatan siber, analitik data, kecerdasan buatan (AI) dan pembangunan produk digital bagi menyokong operasi global HAVI.
Naib presiden kanan pasaran global HAVI, Douglas Moody Stuart berkata syarikat itu menyediakan khidmat kepada lebih 300 pelanggan di seluruh dunia, termasuk Shell, McDonald's, Marrybrown, Subway dan Nando's di Malaysia.
Beliau berkata HAVI TechHUB Kuala Lumpur akan menyokong operasi global syarikat tersebut, termasuk pelanggan di seluruh Asia Tenggara, melalui perancangan rantaian bekalan yang lebih baik serta kecekapan operasi.
Semasa merasmikan pelancaran hab itu hari ini, pemangku ketua pegawai eksekutif Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) Azlan Sharom berkata kerjasama industri penting bagi merealisasikan aspirasi Malaysia menjadi negara AI menjelang 2030, di samping sasaran untuk memastikan ekonomi digital menyumbang sebanyak 30 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.
Beliau berkata penggunaan AI seharusnya bukan hanya sekadar automasi sebaliknya mewujudkan cara kerja baharu yang lebih produktif, manakala pihak industri pula boleh membantu rakyat Malaysia memahami manfaatnya dalam situasi sebenar.
Sementara itu HAVI dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan pelancaran hab itu menanda satu pencapaian penting bagi kumpulan tersebut.
Syarikat tersebut telah beroperasi di Malaysia sejak 1992 dan kini memperluas operasinya melangkaui operasi rantaian bekalan tradisional dengan meneroka ke dalam bidang pembangunan teknologi global.
HAVI TechHUB Kuala Lumpur yang terletak di Menara Merdeka 118, dijangka menyediakan kira-kira 150 peluang pekerjaan teknologi bernilai tinggi, dengan lebih daripada 70 rakyat Malaysia telah diambil bekerja dan proses pengambilan seterusnya sedang dijalankan.
Hab tersebut adalah tambahan kepada hab teknologi sedia ada syarikat tersebut di Chicago, Krakow dan Lisbon, sekali gus membentuk ekosistem teknologi global yang saling berhubung.
HAVI yang ditubuhkan pada 1974, merupakan sebuah syarikat global milik persendirian dengan kira-kira 7,500 pekerja di lebih daripada 30 pasaran, serta mengendalikan lebih daripada dua juta pesanan setiap tahun.
-- BERNAMA