Untung Bersih MISC Bhd Suku Ketiga Melonjak Kepada RM961.80 Juta
KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Keuntungan bersih MISC Bhd meningkat kepada RM961.80 juta pada suku ketiga yang berakhir 30 Sept, 2026 daripada RM541.80 juta dalam suku yang sama tahun lepas.
Perolehan kumpulan turut naik 40.2 peratus kepada RM3.92 bilion daripada RM2.79 bilion dalam suku sama tahun lepas disokong oleh segmen pengangkutan petroleum dan produk, perniagaan luar pesisir serta segmen kejuruteraan marin dan berat.
Kumpulan itu menyatakan, segmen pengangkutan petroleum dan produk mencatatkan perolehan sebanyak RM1.98 bilion iaitu 55.0 peratus lebih tinggi daripada RM1.27 bilion dalam suku yang sama tahun lepas.
Prestasi itu, menurut MISC dipacu terutamanya oleh kadar tambang pengangkutan yang lebih tinggi dan peningkatan hari berpendapatan, namun sebahagiannya diimbangi oleh kesan pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat.
“Perolehan daripada perniagaan luar pesisir turut melonjak kepada RM1 bilion iaitu RM530.2 juta lebih tinggi daripada perolehan dalam suku sama tahun lepas.
"Peningkatan prestasi berkenaan berikutan pengiktirafan perolehan pembinaan yang lebih tinggi pada suku semasa susulan kemajuan pembinaan selanjutnya bagi unit penyimpanan dan pemunggahan terapung serta unit pengeluaran terapung,” jelasnya.
Penyedia perkhidmatan pengangkutan tenaga dan penyelesaian maritim itu turut memberitahu perolehan segmen kejuruteraan marin dan berat menokok kepada RM691.6 juta iaitu 35.7 peratus lebih tinggi daripada RM509.8 juta dalam suku yang sama tahun lepas.
Peningkatan itu dipacu oleh sumbangan perolehan yang lebih tinggi daripada segmen kejuruteraan berat susulan kemajuan projek-projek sedia ada ke fasa pembinaan seterusnya selain sumbangan lebih tinggi daripada segmen marin berikutan kemajuan yang lebih ketara dalam projek pengubahsuaian.
“Keuntungan operasi berjumlah RM37.0 juta iaitu RM5.4 juta atau 17.1 peratus lebih tinggi daripada RM31.6 juta dalam suku yang sama tahun lepas terutamanya disebabkan oleh pengiktirafan perolehan yang lebih tinggi sepanjang suku berkenaan serta pemuktamadan projek selepas pelayaran keluar yang turut menyumbang secara positif,” jelasnya.
Bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2026, keuntungan bersih MISC berkembang kepada RM2.85 bilion daripada RM1.71 bilion dalam tempoh sama tahun lepas manakala perolehan turut bertambah kepada RM11.60 bilion daripada RM8.33 bilion sebelumnya.
Kumpulan itu memberitahu lembaga pengarah telah meluluskan dividen ketiga sebanyak lapan sen sesaham dan dikecualikan cukai bagi tahun kewangan 2026 yang berjumlah RM357.1 juta.
Dividen yang dicadangkan itu akan dibayar pada 23 Dis, 2026 kepada pemegang saham yang berdaftar ketika penutupan urus niaga pada 14 Dis, 2026.
Mengenai prospek, menurut kumpulan itu, prospek jangka pendek bagi pasaran pengangkutan kapal tangki dalam segmen petroleum dan produk kekal positif disokong oleh peningkatan jumlah kargo serta lencongan laluan pengangkutan minyak mentah susulan gangguan berterusan di Selat Hormuz dan Laut Merah.
Perkembangan ini telah mengehadkan ketersediaan kapal dan dijangka terus mengekalkan permintaan terhadap kapal tangki serta menyokong kadar tambang pengangkutan.
Sementara itu, segmen luar pesisir dijangka kekal berdaya tahan, dipacu oleh prospek industri yang memberangsangkan bagi unit pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FPSO) di pasaran utama Asia, Amerika Selatan dan Afrika.
“Bagi segmen kejuruteraan marin dan berat, persekitaran operasi dijangka kekal dinamik dengan tumpuan berterusan terhadap keterjaminan tenaga dan daya tahan bekalan yang menyokong pelaburan dalam sektor minyak dan gas luar pesisir serta infrastruktur tenaga berkaitan susulan ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi, sekali gus membuka peluang kepada segmen berkenaan,” tambahnya.
-- BERNAMA