Keuntungan Bersih Suku Ketiga PetDag Susut Kepada RM218.51 Juta, Isytihar Dividen 25 Sen
KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Keuntungan bersih Petronas Dagangan Bhd (PetDag) menyusut kepada RM218.51 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2026 berbanding RM281.24 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.
Cabang pemasaran domestik Petroliam Nasional Bhd (Petronas) itu menerusi satu kenyataan memaklumkan penurunan tersebut disebabkan oleh keuntungan kasar yang lebih rendah akibat kos produk import tinggi susulan kerja penyelenggaraan utama yang telah dirancang.
Keuntungan bersih itu turut terjejas akibat trend harga Mean of Platts Singapore (MOPS) yang kurang menguntungkan bagi Jet A1, iaitu bahan api turbin penerbangan berasaskan kerosin.
Bagaimanapun hasil melonjak 63 peratus kepada RM15.51 bilion pada suku ketiga 2026 berbanding RM9.53 bilion sebelumnya, didorong terutamanya oleh peningkatan 67 peratus dalam purata harga jualan.
Kumpulan itu mengisytiharkan dividen interim sebanyak 25 sen sesaham, berjumlah RM248.36 juta bagi suku tahun tersebut yang akan dibayar pada 24 Disember 2026.
Bagi tempoh kumulatif sembilan bulan berakhir 30 September 2026, kumpulan itu mencatatkan peningkatan keuntungan bersih kepada RM888.72 juta daripada RM840.28 juta sebelumnya, manakala hasil melonjak kepada RM42.75 bilion daripada RM27.69 bilion.
Menurutnya, pertumbuhan hasil yang kukuh itu didorong terutamanya oleh peningkatan 52 peratus harga jualan purata, ditambah dengan kenaikan dua peratus dalam jumlah jualan.
Sementara itu, PetDag menjangkakan pasaran minyak global kekal tidak menentu di tengah-tengah perkembangan geopolitik yang berterusan, manakala pergerakan harga komoditi dan potensi tekanan kos akan terus mempengaruhi persekitaran operasi.
Di dalam negara, asas ekonomi Malaysia yang berdaya tahan, perbelanjaan pengguna yang berterusan, mobiliti, aktiviti komersial serta sektor pelancongan dijangka menyediakan persekitaran operasi yang menyokong kumpulan tersebut.
"Pada masa sama, perubahan dalam landskap mobiliti, termasuk kenderaan elektrik yang semakin mendapat permintaan, dijangka terus membentuk keperluan tenaga dan mobiliti pelanggan," maklum syarikat itu.
-- BERNAMA