BERITA TERKINI   Gangguan bekalan elektrik jejas empat Loji Rawatan Air di Sandakan, penduduk diminta berjimat - Pengerusi JPBD Sandakan | Kes dadah TUDM: 17 inisiatif keselamatan diperluas ke Kementerian Pertahanan - Fahmi | PM Anwar mahu pelaksanaan Belanjawan 2027 bermula seawal 1 Januari - Fahmi | Masjid Warisan bakal dibangunkan di Jalan Davis, KL jadi lambang kemegahan warisan Islam, budaya Melayu dan identiti Malaysia - PM Anwar | Penggiliran bekalan elektrik empat kumpulan di Pantai Timur Sabah bermula hari ini hingga 30 Nov - Sabah Electricity | 

IHPR Malaysia Meningkat 14 Peratus Pada Oktober 2026 -- DOSM

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Malaysia meningkat sebanyak 14.0 peratus pada Oktober 2026 berbanding 12.0 peratus pada September 2026, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

DOSM memaklumkan bahawa IHPR sektor perlombongan melonjak sebanyak 75.4 peratus pada Oktober 2026 berbanding 54.1 peratus pada bulan sebelumnya.

“Ini terutamanya didorong oleh pengekstrakan petroleum mentah, yang meningkat dengan ketara sebanyak 93.2 peratus, manakala pengekstrakan gas asli meningkat sebanyak 26.7 peratus,” menurut jabatan itu dalam satu kenyataan.

Ad Banner

Menurut DOSM, sektor pembuatan turut merekodkan peningkatan yang lebih tinggi sebanyak 10.4 peratus berbanding 9.4 peratus pada bulan sebelumnya, didorong oleh pembuatan kok dan produk petroleum bertapis (41.6 peratus) dan pembuatan komputer, produk eletronik dan optikal (14.2 peratus).

DOSM menyatakan bahawa sektor pertanian, perhutanan dan perikanan merekodkan peningkatan kecil sebanyak 0.3 peratus, menyederhana berbanding 2.9 peratus pada bulan sebelumnya, dengan pengeluaran ternakan meningkat sebanyak 8.8 peratus.

Sementara itu, DOSM menyatakan bahawa sektor utiliti terus mengekalkan trend peningkatan, dengan bekalan elektrik dan gas meningkat 8.7 peratus, manakala bekalan air meningkat sebanyak 2.3 peratus. 

Ad Banner
Ad Banner

Bagi asas bulan ke bulan, IHPR pengeluaran tempatan meningkat 1.8 peratus pada Oktober 2026, berbanding 1.6 peratus pada September 2026.

“Sektor perlombongan merekodkan peningkatan sebanyak 8.4 peratus (September 2026: 10.3 peratus), disokong oleh harga yang lebih tinggi dalam pengekstrakan gas asli (17.4 peratus) dan pengekstrakan petroleum mentah  (6.4 peratus).

“Sektor pembuatan meningkat 1.2 peratus (September 2026: 0.9 peratus), terutamanya mencerminkan peningkatan dalam pembuatan kok dan produk petroleum bertapis (4.8 peratus) serta pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal (1.8 peratus),” kata jabatan itu.

Sebaliknya, menurut DOSM, sektor pertanian, perhutanan dan perikanan merosot sebanyak 1.7 peratus  (September 2026: 0.5 peratus), didorong oleh penurunan dalam penanaman tanaman kekal (-2.3 peratus) dan pengeluaran ternakan  (-0.8 peratus)

DOSM juga menjelaskan bahawa indeks bekalan elektrik dan gas serta bekalan air masing-masing meningkat sebanyak 2.8 peratus dan 0.6 peratus.

Mengikut peringkat pemprosesan, semua peringkat mencatatkan peningkatan pada Oktober 2026, dengan indeks bahan mentah meningkat 34.4 peratus, indeks bahan perantaraan, bekalan dan komponen meningkat 11.5 peratus, serta indeks barang siap turut meningkat sebanyak 4.6 peratus. 

-- BERNAMA