BERITA TERKINI   Bantuan wang ihsan RM500 diberikan secara sekali bayar kepada 1,205 petani dan 2,440 nelayan Perlis - MB Abu Bakar | Tahap pelaksanaan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara capai 84 peratus - Ahmad Zahid | Bantuan Khas Kewangan RM1,500 diberikan kepada penjawat awam Perlis termasuk kakitangan kontrak - MB Abu Bakar | Bantuan khas RM300 diberikan kepada setiap pengamal media Perlis libatkan seramai 40 orang - MB Abu Bakar | Bekalan elektrik di daerah Pantai Timur Sabah pulih antara 23 hingga 57 peratus setakat 3 petang tadi - Sabah Electricity | 

Tindakan Saman MCMC Tidak Jejas Pelaburan Berbilion Ringgit Google Di Malaysia - PM Anwar

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Tindakan saman yang difailkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terhadap Google tidak menjejaskan komitmen pelaburan bernilai berbilion ringgit gergasi teknologi itu di Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata jaminan itu diperoleh selepas beliau berhubung secara langsung dengan presiden dan ketua pegawai pelaburan Alphabet dan Google, Ruth Porat, semalam bagi membincangkan isu pematuhan kawal selia tempatan dan kerjasama menangani kandungan perjudian dalam talian.

"Semalam saya dapat hubungi Ruth Porat sendiri dan dia menjawab akan bekerjasama menangani masalah ini. Jadi ia tidak akan menjejaskan (pelaburan) sebenarnya," kata beliau kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Bandar Baru Ampang, di sini, hari ini.

Ad Banner

MCMC baru-baru ini mengumumkan pihaknya memfailkan dua saman terhadap Google LLC, menuntut jumlah ganti rugi RM600 juta berhubung dakwaan kegagalan syarikat itu menangani kandungan berbahaya di YouTube.

Anwar berkata tindakan undang-undang itu diambil selepas aduan kerajaan berhubung promosi perjudian dalam talian tidak menerima tindakan sewajarnya meskipun tempoh laporan telah mencecah enam bulan, 

Google sebelum ini mengumumkan pelaburan sebanyak US$15 bilion (kira-kira RM61.1 bilion) di Malaysia bagi tempoh 2027 hingga 2028, merangkumi peluasan infrastruktur digital, pembangunan pusat data serta inisiatif tenaga bersih dan pengurusan sumber air.

Ad Banner
Ad Banner

Sementara itu, mengenai perkembangan isu tarif perdagangan Amerika Syarikat (AS), Perdana Menteri berkata Washington wajar meneliti semula sebarang cadangan pengenaan tarif ke atas produk cip semikonduktor yang dikeluarkan syarikat negara itu di Malaysia untuk dieksport semula ke pasaran AS.

Beliau berkata perkara berkenaan merupakan antara laporan utama yang dibentangkan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

“Kalau pelaburan dari Amerika, buat cip di sini kemudian untuk dieksport ke Amerika itu sepatutnya mereka teliti semula," kata beliau.

Baru-baru ini, Malaysia disenaraikan antara 14 ekonomi yang berdepan cadangan tarif baharu AS di bawah Seksyen 301 Akta Perdagangan 1974 antara 15 hingga 35 peratus, sekali gus mendorong Putrajaya giat berunding bagi memastikan kadar tersebut kekal mematuhi siling 19 peratus serta mengekalkan pengecualian bagi sektor semikonduktor negara.

-- BERNAMA