BERITA TERKINI   PRN Sarawak: 29 kerusi menang tanpa bertanding catat rekod tertinggi, atasi 19 kerusi pada 1996 - Pengerusi SPR | PRN Sarawak: Lebih 632,000 pengundi di 29 DUN menang tanpa bertanding tidak perlu keluar mengundi - Pengerusi SPR | PRN Sarawak: 168 calon disahkan bertanding di 53 DUN, GPS menang 29 kerusi tanpa bertanding - Pengerusi SPR | Semua yang terlibat kes seludup dadah guna aset TUDM akan dikesan sehingga ke lubang cacing - Mohamed Khaled | MINDEF beri laluan kepada PDRM lakukan siasatan menyeluruh, pastikan dalang kes seludup dadah guna aset TUDM diberkas - Mohamed Khaled | 

Pasaran Getah Didagangkan Tidak Berubah Dengan Kecenderungan Menaik Minggu Depan

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur dijangka didagangkan tidak berubah dengan kecenderungan menaik minggu depan, dalam keadaan bekalan dan dinamik permintaan yang agak stabil.

Pakar industri Denis Low berkata pergerakan pasaran akan dipengaruhi oleh bermulanya monsun timur laut, ketegangan geopolitik yang berterusan dan turun naik kadar pertukaran.

Ad Banner

"Musim tengkujuh, yang dijangka berlarutan sehingga Januari, boleh menjejaskan pengeluaran getah berikutan hujan lebat dan angin kencang.

"Namun, keadaan cuaca yang menggalakkan pada minggu-minggu menjelang monsun telah menyokong pengeluaran, manakala harga kekal kukuh, mencerminkan bekalan dan permintaan yang seimbang," katanya kepada Bernama.

Low berkata, ketegangan geopolitik khususnya konflik Amerika Syarikat (AS)-Iran yang berterusan, terus menjejaskan aktiviti perdagangan global dan perindustrian, sambil menyumbang kepada kos tenaga yang lebih tinggi.

Ad Banner
Ad Banner

Turun naik kadar pertukaran juga akan mempengaruhi harga getah dengan ketara memandangkan pergerakan mata wang semakin didorong oleh perkembangan geopolitik dan bukannya asas ekonomi.

Sementara itu, Persatuan Pengilang-Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) berkata pasaran getah dijangka mengekalkan momentum menaiknya minggu depan, disokong oleh niaga hadapan getah serantau.

“Sentimen pasaran keseluruhan terangkat dengan pengurangan dalam inventori getah di China dan bekalan bermusim.

"Pengilang-pengilang sarung tangan getah Malaysia juga memantau dengan teliti tekanan kos bahan mentah dan cabaran perdagangan global yang diperbaharui berikutan cadangan tarif terkini AS," katanya.

MARGMA menambah gangguan bekalan berterusan di Asia Barat boleh mendorong harga minyak menjadi lebih tinggi, ini akan memberikan sokongan lanjut untuk harga getah minggu depan.

Dari Jumaat ke Jumaat, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia bagi SMR 20 naik 21 sen kepada 988.5 sen sekilogram, manakala lateks pukal menokok 11.5 sen kepada 768 sen sekilogram.

-- BERNAMA