BERITA TERKINI   Keuntungan bersih AMMB meningkat kepada RM520.22 juta pada S1 2027 daripada RM516.17 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya manakala pendapatan naik kepada RM1.32 bilion berbanding RM1.29 bilion | Malaysia, Filipina bincang percepat proses penghantaran pulang lebih 1,000 warga Filipina dari empat pusat tahanan di Sabah - Mohamad Hasan  | Platform media sosial setuju turunkan 93 peratus daripada 470,593 kandungan dipohon - Fahmi | Kerugian akibat penipuan dalam talian di Malaysia cecah RM958 juta bagi tempoh Januari hingga Jun - Fahmi | Kerjasama MCMC-Jabatan Imigresen tumpu pembinaan kapasiti, perkongsian risikan, siasatan dan operasi bersama - Saifuddin Nasution | 

Usahawan Kraf Mahu Tonjol Keunikan Batik Johor Di Mata Dunia

Oleh Nur Fatin Mohmad Kadenen

KOTA TINGGI, 23 Feb (Bernama) -- Usahawan kraf wanita yang berasal dari Tangkak memasang impian melihat Batik Johor yang bermotifkan identiti negeri itu seperti lada hitam, nanas dan gambir dikenali di mata dunia.

Pemilik D Warisan Berzaman, Azizah Yusof, 51, yang menceburi bidang perniagaan itu sejak 11 tahun lepas berkata produk Batik Johor yang dihasilkan antaranya terdiri daripada kemeja, baju kurung, kebaya, cardigan, t-shirt, tudung, batik sarung dan kain ela.

Ad Banner

Beliau berkata setakat ini pelanggannya bukan sahaja terdiri daripada warga tempatan tetapi juga negara luar termasuk Jepun, Vietnam, Singapura, Thailand, Indonesia dan Korea Selatan.

“Kebanyakan pelanggan luar negara ini membeli produk menerusi reruai (booth) kami yang dibuka dalam acara-acara atau program dianjur termasuk agensi kerajaan negeri, seperti Tourism Johor menerusi Forum Pelancongan ASEAN (ATF) baru-baru ini.

“Maklum balas mereka sangat baik dan memuji keunikan Batik Johor yang dikatakan mempunyai kelainan tersendiri selain pakaian yang dihasilkan kami selesa apabila dipakai,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Pemukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-31 di Desaru Coast Conference Centre, dekat sini, hari ini.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Azizah merupakan antara usahawan Johor yang mengambil bahagian mempamerkan produk mereka di ruang reruai yang disediakan bersempena Pemukiman AEM.

Beliau berkata setakat ini sambutan yang diterima adalah menggalakkan, dan produk yang dipamerkan turut berjaya mencuri perhatian delegasi dari komuniti ASEAN.

“Ramai yang singgah reruai bertanyakan Batik Johor, sambutan menggalakkan dan ada yang telah pakai baju buatan kami selepas beli.

“Saya rasa sangat bersyukur dapat ambil bahagian pamer produk dalam Pemukiman AEM kerana tujuan dan harapan saya adalah hendak orang kenal Batik Johor,” katanya.

Justeru beliau berharap agar Pemukiman AEM menjadi pintu untuknya meneroka perniagaan lebih luas, sekali gus menyokong usaha syarikat mewujudkan peluang pekerjaan dan melatih golongan ibu tunggal serta Orang Kurang Upaya (OKU) untuk menjana pendapatan.

“Perniagaan ini diusahakan saya sendiri bersama suami sehinggalah kami mampu untuk membentuk satu komuniti yang antaranya terdiri daripada golongan ibu tunggal serta OKU yang kami latih secara percuma.

“Kami latih mereka buat pelbagai produk untuk dijual antaranya dengan menggunakan lebihan fabrik batik seperti tempat letak kunci, kotak pensil, getah rambut dan batu seremban,” katanya.

Pemukiman AEM dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan bermula 22 hingga 28 Feb ini  diadakan bersempena dengan Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia yang bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan” bagi mencerminkan aspirasi Malaysia dalam menyumbang ke arah pengukuhan komuniti ASEAN yang terangkum dan mampan.

Antara agenda utama Malaysia sebagai pengerusi ASEAN adalah untuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan intra-ASEAN serta mengemudi usaha meneroka dan memperluas kerjasama dan perkongsian ekonomi di luar rantau ASEAN.

-- BERNAMA