Belanjawan 2027 Perkukuh Daya Saing Malaysia, Pertumbuhan, Tangani Kos Sara Hidup - Khazanah
KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2027 akan terus memperkukuh daya saing jangka panjang dan pertumbuhan ekonomi Malaysia dengan meletakkan rakyat sebagai tumpuan utama melalui usaha meringankan beban kos sara hidup, meningkatkan gaji dan memperluas peluang.
Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata belanjawan itu dibentangkan pada saat penting bagi Malaysia, ketika negara terus mengharungi persekitaran global yang tidak menentu, dipengaruhi ketidakpastian geopolitik, tekanan rantaian bekalan dan harga bahan api yang tinggi susulan konflik berterusan di Asia Barat.
Beliau berkata Belanjawan 2027 memberikan penekanan pada pertumbuhan berkualiti dengan menumpukan terhadap sektor dan bidang strategik seperti semikonduktor, peralihan tenaga, infrastruktur, pembangunan perusahaan dan bakat untuk membina ekonomi yang lebih kukuh, berdaya saing dan bersedia menghadapi masa hadapan.
"Keutamaan ini amat penting untuk memperkukuh asas perindustrian Malaysia, meningkatkan kompleksiti ekonomi dan mewujudkan peluang bernilai lebih tinggi untuk perniagaan dan pekerja,” katanya dalam satu kenyataan.
Amirul Feisal berkata belanjawan ini juga terus mengekalkan pendekatan yang inklusif bagi memastikan pembangunan negara dapat memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat, termasuk pekerja, belia, usahawan, syarikat bumiputera, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), serta komuniti yang perlu diperkukuh daya tahannya dalam menghadapi cabaran ekonomi dan perubahan iklim.
Katanya, tumpuan Belanjawan 2027 terhadap pembangunan vendor, inovasi dan akses kepada pasaran baharu akan mewujudkan lebih banyak peluang untuk perniagaan bumiputera berkembang.
Beliau berkata, Khazanah akan terus menyokong keutamaan ekonomi dan pembangunan Malaysia melalui Dana Impak, Jelawang Capital, Dana Ciptawan, Dana Warisan, K-Youth, Bakat MADANI, Yayasan Hasanah serta platform lain yang menyokong pembangunan perusahaan, bakat, inovasi, daya tahan komuniti dan daya saing negara dalam jangka panjang.
"Kami akan terus bekerjasama dengan GLIC lain di bawah program GEAR-uP Kementerian Kewangan untuk menggembleng modal dengan lebih berkesan melalui pelaburan berdisiplin, kerjasama pemangkin dan program berpaksikan impak yang membantu membina Malaysia yang lebih berdaya tahan untuk generasi masa kini dan akan datang,” katanya.
Pada Jumaat, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2027 berjumlah RM459.8 bilion, yang merangkumi RM376.8 bilion bagi perbelanjaan mengurus persekutuan dan RM83 bilion bagi perbelanjaan pembangunan persekutuan.
-- BERNAMA