Malaysia, Mesir Kembang Kerjasama Perdagangan & Pelaburan, Teroka Bidang Baharu - PM Anwar
PUTRAJAYA, 10 Okt (Bernama) -- Malaysia dan Mesir akan menumpukan usaha untuk memperluas kerjasama perdagangan dan pelaburan, meningkatkan kesalinghubungan penerbangan serta meneroka bidang baharu ekonomi pada mesyuarat Suruhanjaya Bersama yang dijadualkan pada suku pertama tahun depan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pertemuan itu yang dipersetujui oleh menteri luar kedua-dua negara, akan menyediakan platform untuk menterjemahkan hubungan dua hala yang semakin berkembang kepada peluang ekonomi yang lebih luas.
Beliau berkata perdagangan dua hala antara kedua-dua meningkat sebanyak 74.7 peratus pada tahun ini, namun pertumbuhan itu bermula daripada asas yang rendah, sekali gus memberikan ruang yang luas untuk pengembangan selanjutnya.
"Kita mencapai peningkatan luar biasa ini pada tahun ini, (perdagangan) melonjak kepada 74.7 peratus, namun ia bermula daripada asas yang sangat, sangat rendah," kata Perdana Menteri.
Anwar berkata demikian pada sidang media bersama Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi bersempena dengan lawatan negara beliau selama dua hari ke Malaysia.
Perdana Menteri berkata Malaysia melihat potensi besar untuk memperluas kerjasama dengan Mesir dalam beberapa sektor, termasuk semikonduktor, elektrik dan elektronik (E&E), pertanian serta farmaseutikal.
Malaysia juga menyasarkan ekonomi sedang pesat membangun, termasuk negara-negara BRICS, sebagai sumber berpotensi bagi produk farmaseutikal, dengan Mesir antara negara yang mampu memenuhi keperluan tersebut.
"Mesir berpotensi menjadi destinasi untuk mendapatkan bekalan farmaseutikal," kata Anwar.
Beliau juga berkata peningkatan hubungan udara, termasuk penerbangan yang lebih kerap penting bagi memudahkan perdagangan, pelaburan dan pelancongan antara kedua-dua negara.
Perdana Menteri menyifatkan Mesir sebagai negara penting di dunia Arab dan Afrika sambil menekankan bahawa hubungan yang lebih erat akan memberikan Malaysia peluang lebih besar untuk memperluas kehadiran ekonominya di rantau tersebut.
Terdahulu, Anwar dan El-Sisi mengadakan pertemuan empat mata di Kompleks Seri Perdana, di sini, hari ini, menandakan satu langkah penting ke arah meningkatkan hubungan Malaysia-Mesir kepada Perkongsian Strategik selepas lebih enam dekad menjalinkan hubungan diplomatik.
Pertemuan yang diadakan bersempena dengan lawatan negara Presiden Mesir itu ke Malaysia memberi peluang kepada kedua-dua pemimpin untuk meneliti kerjasama dua hala, meneroka bidang kerjasama baharu serta bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.
El-Sisi yang melakukan lawatan negara pertamanya ke Malaysia sejak memegang jawatan Presiden pada Jun 2014, tiba di kompleks tersebut pada pukul 12.58 tengah hari bagi menghadiri beberapa acara rasmi yang bertujuan memperkukuh hubungan politik, ekonomi dan diplomatik antara kedua-dua negara.
Pada 2025, Mesir merupakan rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia di Afrika, dengan jumlah perdagangan dua hala bernilai RM3.08 bilion (US$0.72 bilion).
Eksport Malaysia ke Mesir berjumlah RM2.55 bilion (US$0.60 bilion) manakala import pula berjumlah RM530 juta (US$0.12 bilion).
Dari Januari hingga Ogos 2026, perdagangan dua hala melonjak sebanyak 74.7 peratus kepada RM3.49 bilion (US$0.87 bilion).
-- BERNAMA