BERITA TERKINI   Kerjasama dengan Mesir buka peluang besar kepada Malaysia memperluas perdagangan, pelaburan dan sektor pelancongan - Anwar | Malaysia, Mesir setuju adakan mesyuarat suruhanjaya bersama pada suku pertama 2027 untuk memperkukuh kerjasama dua hala - Anwar | Tabung Pos ditubuhkan dengan dana RM150 juta di bawah seliaan MCMC, beroperasi suku pertama 2027 – Fahmi | Agong kurnia Darjah Utama Seri Mahkota Negara kepada Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi  | Syed Saddiq, Bella Astillah sah bergelar suami isteri sekitar 10.40 pagi hari ini | 

Penetapan Operasi RTS Link Johor-Singapura Pada Februari Tidak Jejas Pelaburan - JETCO

Oleh Nur Fatin Mohmad Kadenen

JOHOR BAHRU, 10 Okt (Bernama) -- Penetapan pengoperasian projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura kepada Februari 2027, tidak memberikan kesan secara langsung terhadap daya tarikan pelaburan di negeri ini khususnya di kawasan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Ketua pegawai eksekutif Pejabat Ekonomi, Pelancongan dan Kebudayaan Johor (JETCO) Mohd Shahrin Rahmat berkata penetapan itu sebaliknya dilihat lebih memberi impak kepada sektor pelancongan dan pergerakan modal insan.

Ad Banner

"Pada pandangan saya, ia (penetapan) tidak beri kesan sangat ke atas pelaburan, tetapi lebih kepada pelancong dan ia adalah faktor penentu yang besar bagi peralihan lancar, terutamanya dari segi bakat.

"Selain mungkin ada sikit kesan sebaik RTS mula beroperasi (terutama) nilai hartanah kita akan lebih meningkat," katanya kepada Bernama ketika ditemu bual, baru-baru ini.

Mohd Shahrin berkata pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan MRT Corp bagi mendapatkan taklimat berkenaan perkembangan projek RTS Link, dengan kemajuan fizikalnya dilaporkan berjalan mengikut jadual.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Sebelum ini, pengendali RTS, Operations Pte Ltd (RTSO) memaklumkan semua ujian sistem dan operasi percubaan disasarkan selesai menjelang 31 Dis tahun ini, dengan perkhidmatan penumpang dijangka bermula pada Februari 2027 berbanding jangkaan awal Januari.

Dalam pada itu, Mohd Shahrin menjelaskan sektor pelaburan khususnya di JS-SEZ ketika ini menyaksikan para pelabur menantikan pengumuman pelan induk daripada Kerajaan Persekutuan, khususnya melibatkan insentif pelepasan cukai. 

Katanya, pelabur masih mengambil pendekatan "tunggu dan lihat" sementara menantikan pengumuman pelan induk  berkenaan.

"Tetapi kita di negeri Johor terus mempromosikan JS-SEZ, sebab kita tahu pelepasan cukai yang ada kelulusan oleh Kementerian Kewangan, mungkin tidak lari jauh (perinciannya dari pelan induk yang bakal diumum).

"Cuma kadang-kadang pelabur hendakkan penjelasan daripada pelan induk itu sendiri. Jadi, ada beberapa pelabur yang masih menunggu untuk membuat keputusan melabur di JS-SEZ," katanya. 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam dilaporkan berkata beliau bersama Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong akan melancarkan Pelan Induk serta Blueprint JS-SEZ pada penghujung tahun ini bagi memperkukuh kerjasama ekonomi kedua-dua negara.

Beliau berkata JS-SEZ yang menggabung kekuatan Malaysia dan Singapura merekodkan pelaburan sejumlah RM132 bilion dari 2025 hingga Jun 2026.

-- BERNAMA