BERITA TERKINI   Keuntungan bersih AMMB meningkat kepada RM520.22 juta pada S1 2027 daripada RM516.17 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya manakala pendapatan naik kepada RM1.32 bilion berbanding RM1.29 bilion | Malaysia, Filipina bincang percepat proses penghantaran pulang lebih 1,000 warga Filipina dari empat pusat tahanan di Sabah - Mohamad Hasan  | Platform media sosial setuju turunkan 93 peratus daripada 470,593 kandungan dipohon - Fahmi | Kerugian akibat penipuan dalam talian di Malaysia cecah RM958 juta bagi tempoh Januari hingga Jun - Fahmi | Kerjasama MCMC-Jabatan Imigresen tumpu pembinaan kapasiti, perkongsian risikan, siasatan dan operasi bersama - Saifuddin Nasution | 

Replika Gambus, Benang Johor "Buah Tangan" Untuk Delegasi ASEAN

 

Oleh Nur Fatin Mohmad Kadenen

JOHOR BAHRU, 26 Feb (Bernama) -- Replika Gambus dan corak Benang Johor antara “buah tangan”  eksklusif yang disediakan untuk delegasi kenamaan sempena Permukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-31 yang berlangsung di Desaru, Kota Tinggi.

Ad Banner

Pengurus Pembangunan Perniagaan dan Operasi The Johor Collection (TJC) Sdn Bhd Ahmad Bukhari A Rahim berkata pihaknya diberikan peranan untuk menyediakan cenderahati itu yang menggabungkan dua elemen identiti kebanggaan Johor.

Beliau berkata gambus berkenaan dihasilkan oleh Adiguru Kraf Gambus Halidan Ithnin iaitu pembuat gambus terkenal dari Batu Pahat manakala Benang Johor pula daripada Yayasan Warisan Johor.

“Ini adalah hasrat Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi untuk menghasilkan cenderahati eksklusif yang menggabungkan beberapa elemen melambangkan kebanggaan negeri ini.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

 “Justeru, Gambus Johor dalam bentuk replika dan potongan kain corak Benang Johor yang menjadi antara identiti negeri ini, dipilih dan diletakkan dalam kotak bingkai berkaca dengan latar belakang motif lada hitam dan gambir,” katanya kepada Bernama di sini semalam.

Beliau berkata cenderahati berkenaan dihasilkan dengan teliti bagi memastikan ia mudah dibawa pulang oleh delegasi, selain mengekalkan ciri-ciri khas Gambus Johor meskipun dalam saiz yang kecil.

“Walaupun dalam bentuk kecil, kita tidak menghilangkan identiti asal Gambus Johor, termasuk dari segi seni ukiran dan tali yang digunakan.

“Ia dibuat dengan penuh ketelitian oleh usahawan pembuat gambus (Halidan), dan proses pembuatannya mengambil masa kira-kira dua hingga tiga bulan untuk disiapkan,” katanya.

Ahmad Bukhari TJC memainkan peranan penting dalam menterjemahkan keunikan serta kepelbagaian negeri Johor dalam bentuk cenderahati eksklusif sebagai tanda kenangan.

“Selain ASEAN, kami turut menghasilkan cenderahati untuk pelbagai pihak dan acara besar seperti Festival Majestic Johor, Zoo Johor, serta cenderahati khas untuk Istana Negara,” katanya.

Justeru, beliau berharap cenderahati berkenaan dapat menonjolkan keunikan serta memperkenalkan identiti Johor di peringkat antarabangsa sekali gus merancakkan industri pelancongan negeri.

Permukiman AEM akan dipengerusikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, dengan mesyuarat-mesyuarat berkaitan berlangsung dari 22 hingga 28 Februari.

Bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan”, permukiman kali ini mencerminkan aspirasi Malaysia dalam menyumbang ke arah pengukuhan komuniti ASEAN yang terangkum dan mampan.

Antara agenda utama Malaysia selaku Pengerusi ASEAN adalah untuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan intra-ASEAN serta mengemudi usaha meneroka dan memperluas kerjasama serta perkongsian ekonomi di luar rantau ASEAN.

-- BERNAMA