BERITA TERKINI   DNB selesai pembiayaan RM5.2 bilion, sokong fasa pertumbuhan 5G Malaysia seterusnya | Pentadbiran Persekutuan, negeri digalak guna aplikasi Respons Rakyat agar saluran maklum balas kerajaan lebih inklusif, pantas - KSN | Inisiatif Reformasi Kerenah Birokrasi berjaya daftar 1,582 projek,496 projek siap libat penjimatan RM3.21 bilion - KSN | Bekas CEO UiTM Holdings didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tuduhan pecah amanah RM37.37 juta | GB Bond dibuka pada 25.5 Sen di Pasaran ACE, naik 0.5 Sen daripada harga IPO | 

Ringgit Ditutup Rendah Berbanding Dolar AS

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) -- Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat, berikutan pelabur mengaut keuntungan susulan kenaikan baru-baru ini, dalam persekitaran ketidaktentuan berhubung tarikh rundingan tarif Malaysia-AS.

Pada 6 petang, mata wang tempatan itu susut kepada 4.2195/2245 daripada 4.2135/2210 ketika ditutup pada Khamis. 

Ad Banner

Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata kepada Bernama dengan ketiadaan pemangkin baharu menyebabkan pelabur memilih untuk mengambil untung, manakala pengukuhan dolar AS secara global menjadikan ringgit lebih terdedah kepada penyusutan.

Namun, katanya, perjanjian perdagangan terkini antara Jepun dan AS,  termasuk pengurangan tarif kereta daripada 25 peratus kepada 15 peratus, berpotensi mencetuskan jangkaan terhadap lebih banyak perjanjian dua hala pada masa depan, termasuk dengan Malaysia.

“Jika itu berlaku, ia boleh meningkatkan permintaan terhadap ringgit,” katanya.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid turut sependapat bahawa penurunan ringgit sebanyak 0.1 peratus kepada 4.2220 berbanding dolar AS selaras dengan peningkatan Indeks Dolar AS kepada 97.621 mata, yang mungkin mencerminkan aktiviti pengambilan untung selepas ringgit mencatat kenaikan mingguan sebanyak 0.5 peratus.

Pada penutup dagangan, bagaimanapun, ringgit mengukuh berbanding kumpulan mata wang utama yang lain.

Ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.8529/8565 daripada 2.8751/8804 pada Khamis, mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.6786/6853 daripada 5.7080/7182, dan naik berbanding euro kepada 4.9507/9566 daripada 4.9517/9605.

Berbanding mata wang serantau, mata wang tempatan itu kebanyakannya diniagakan lebih tinggi kecuali terhadap rupiah Indonesia, yang kekal tidak berubah pada 258.5/258.9 berbanding 258.5/259.1 sebelumnya.

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.2937/2978 daripada  3.2995/3057, menokok berbanding baht Thai kepada 13.0268/0478 daripada 13.0570/0863 dan naik berbanding peso Filipina kepada 7.38/7.40 daripada 7.43/7.45.

-- BERNAMA