BERITA TERKINI   Politik mungkin membentuk mandat kerajaan, namun perkhidmatan awam perlu sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat - Ahmad Zahid | RCI Tabung Haji: BN,UMNO tidak akan kompromi jika benar ada pihak pecah amanah, salah tadbir - Ahmad Zahid | BN Melaka berhasrat pertahan 21 kerusi DUN yang dimenangi sebelum ini - Ahmad Zahid | Persaingan politik di peringkat negeri tidak jejas kestabilan Kerajaan Perpaduan - TPM Ahmad Zahid | Pelabur antarabangsa papar keyakinan tinggi terhadap kedudukan kewangan Malaysia -- Amir Hamzah | 

Kerajaan Tidak Teruskan Pelaksanaan Cukai HVGT - Kementerian Kewangan

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Kerajaan memutuskan untuk tidak meneruskan pelaksanaan cukai barang bernilai tinggi (HVGT), menurut Kementerian Kewangan (MoF).

Dalam jawapan bertulis dimuat naik di laman sesawang Parlimen semalam, bagaimanapun MoF berkata prinsip bagi pengenaan HVGT tersebut telah diterapkan dalam kajian semula cukai jualan bermaksud barang mewah dan pilihan dikenakan cukai pada kadar lima peratus atau 10 peratus.

MoF berkata demikan bagi menjawab soalan dikemukakan oleh Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) yang ingin tahu mengenai unjuran penambahan pendapatan negara hasil daripada pelaksanaan reformasi fiskal termasuk pengenalan HVGT, cukai barangan digital (DGT), cukai keuntungan modal (CGT) dan cukai barang bernilai rendah (LVG) serta peluasan cukai SST dan rasionalisasi subsidi yang sedang dan bakal dilaksanakan.

Ad Banner

Cadangan pengenalan HVGT pertama kali diperkenalkan dalam pembentangan semula Belanjawan 2023 pada Februari 2023.

HGVT berjulat antara 5.0 dan 10 peratus pada mulanya dirancang untuk dilaksanakan menjelang Mei 2024 dan kerajaan menjangka menjana tambahan RM700 juta setiap tahun daripada HVGT.

Namun, kerajaan pada ketika itu memaklumkan bahawa ia memerlukan masa untuk berunding dengan pihak berkepentingan yang relevan bagi memastikan pelaksanaan HVGT dapat dijalankan dengan berkesan tanpa menjejaskan ekonomi.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Sementara itu, MoF berkata kerajaan telah mengambil beberapa langkah di bawah cukai langsung dan cukai tidak langsung untuk mengukuhkan kutipan hasil negara.

Antaranya ialah Pelaksanaan Cukai Keuntungan Modal (CGT) yang telah bermula secara efektif pada 1 Mac, 2024.

“Berdasarkan jumlah dan nilai urus niaga semasa bagi saham tidak tersenarai, Kerajaan menganggarkan kutipan hasil adalah sekitar RM800 juta setahun,” katanya.

Semakan kadar cukai jualan dan peluasan skop cukai perkhidmatan yang mula berkuat kuasa pada 1 Julai, 2025 juga dijangkakan memberi pertambahan hasil sebanyak RM5 bilion bagi tahun 2025 dan berganda kepada RM10 bilion bagi tahun 2026.

Dalam pada itu, penyasaran subsidi diesel setakat ini telah menjana penjimatan dana kerajaan sehingga RM600 juta sebulan.

Sementara itu, pelaksanaan cukai barang bernilai rendah (LVG) berkuat kuasa mulai 1 Januari, 2024 mencatatkan kutipan cukai sekitar RM500 juta bagi tahun 2024.

-- BERNAMA