BERITA TERKINI   ACL2: Gangwon FC 1-0 Kuching City FC | MY EG turut dikenakan tindakan saman sivil oleh kerajaan Malaysia berhubung perkara ini - Zetrix AI | MY EG Sdn Bhd terima taksiran cukai pendapatan tambahan daripada LHDN berjumlah RM353.13 juta, termasuk penalti, bagi tahun taksiran 2021, 2022 dan 2023 - Zetrix AI | Pemeteraian CSA Kerajaan MADANI dengan Bersatu dan pembangkang jadi landasan perkukuh kestabilan politik, agenda pembangunan negara - Anwar | Laporan kaitkan JCorp dengan kebakaran hutan di Indonesia tidak berasas, palsu - MB Johor | 

Agrobank Komited Sokong PMKS Melalui Kemudahan Bantuan Kestabilan PKS

KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) -- Agrobank menyatakan komitmennya untuk memastikan pelaksanaan inisiatif bantuan kewangan tambahan menerusi Kemudahan Bantuan Kestabilan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), memberi manfaat maksimum kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang berdepan cabaran ekonomi global.

Kemudahan khas berjumlah RM5 bilion itu diperkenalkan kerajaan melalui Bank Negara Malaysia (BNM) bagi memperkukuh daya tahan ekonomi negara. 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata sebagai institusi kewangan pembangunan yang memfokuskan kepada sektor agromakanan, Agrobank memahami cabaran yang dihadapi oleh usahawan, khususnya dalam menghadapi tekanan krisis bekalan global dan konflik geopolitik yang menjejaskan rantaian bekalan dunia.

Ad Banner
Ad Banner

“Kami menyokong penuh usaha kerajaan dalam memastikan sokongan kewangan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Agrobank, langkah kerajaan memperkenalkan kemudahan khas yang dilengkapi jaminan sedia ada di bawah Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) dan Credit Guarantee Corporation Bhd (CGC) dilihat sebagai satu pendekatan strategik dalam memastikan kesinambungan operasi perniagaan serta kestabilan sektor ekonomi kritikal.

Oleh itu, Tengku Ahmad Badli Shah berkata bank itu akan terus memperkukuh peranannya dalam menyediakan akses pembiayaan yang lebih mudah dan cepat kepada PMKS sektor agromakanan serta keseluruhan rantaian nilai sektor pertanian.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Agrobank juga menyokong keterangkuman kewangan termasuk kepada usahawan luar bandar dan memastikan penyaluran dana dilakukan secara bertanggungjawab serta berimpak tinggi.

“Sektor-sektor yang diberikan keutamaan di bawah inisiatif pembiayaan ini merangkumi sektor pembinaan, pertanian dan rantaian bekalan agromakanan, logistik dan pengangkutan serta pelancongan, dalam usaha memastikan sektor strategik yang menjadi pemacu ekonomi negara terus berdaya tahan dan mampan,” katanya.

Kemudahan pembiayaan ini ditawarkan bagi tujuan membiayai modal kerja perniagaan dengan jumlah pembiayaan sehingga RM750,000 serta tempoh pembiayaan sehingga lima tahun.

Inisiatif di bawah dana BNM ini turut menawarkan kadar keuntungan kompetitif serendah 3.75 peratus setahun menerusi kemudahan Term Financing-i bagi membantu PMKS mengekalkan operasi perniagaan dan melindungi peluang pekerjaan rakyat.

Permohonan bagi kemudahan pembiayaan di bawah dana ini boleh dibuat bermula 15 Mei 2026 sehingga 31 Disember 2026 atau sehingga peruntukan dana digunakan sepenuhnya.

-- BERNAMA