Isu Pembubaran Sukuk Tidak Mewajibkan Pembayaran Balik Secara Penuh - Zetrix AI
KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Zetrix AI mengakui bahawa pencetus kepada pembubaran telah berlaku di bawah Program Sukuk Wakalah syarikat itu berikutan pelanggaran kovenan yang menghendaki Wong Thean Soon kekal sebagai pemegang saham terbesar syarikat.
Bagaimanapun, keadaan itu tidak mewajibkan syarikat membayar balik keseluruhan jumlah tertunggak di bawah program berkenaan dengan serta-merta, menurut jawapan Zetrix AI kepada pertanyaan Bursa Malaysia hari ini.
“Syarikat akan terus berunding dengan pemegang amanah sukuk dan pemegang sukuk bagi menyelesaikan perkara-perkara yang masih belum selesai selaras dengan terma dan syarat Program Sukuk Wakalah,” menurut syarikat itu.
Zetrix AI yang dahulunya dikenali sebagai MyEG Services Bhd, mengutip bayaran bagi pihak agensi kerajaan Malaysia dan mengendalikan platform blockchain Zetrix.
Pada 16 Okt lepas, Zetrix AI Bhd dilaporkan berdepan kemungkinan melanggar kovenan di bawah program Sukuk Wakalah bernilai RM2 bilion selepas Pengarah Urusannya Wong Thean Soon tidak lagi menjadi pemegang saham terbesar syarikat itu susulan penjualan saham secara paksa oleh pihak bank.
Dalam jawapannya kepada Bursa Malaysia, syarikat itu memaklumkan semua bayaran yang perlu dibuat di bawah Program Sukuk Wakalah telah dijelaskan mengikut jadual pembayaran yang ditetapkan.
Menurut syarikat itu, ia akan membuat pengumuman serta-merta menurut Perenggan 9.19A Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd sekiranya berlaku kemungkiran pembayaran.
Tarikh mesyuarat pemegang sukuk yang seterusnya masih belum ditetapkan sementara menunggu kesediaan semua pihak, tambahnya.
Semasa mesyuarat pemegang sukuk pada 23 Oktober, tiada sebarang resolusi diluluskan, namun terma dan syarat sedia ada untuk Program Sukuk Wakalah itu kekal berkuat kuasa.
-- BERNAMA