BERITA TERKINI   MD2030 sasar 30 peratus kepada KDNK, 500,000 peluang pekerjaan dan RM4.5 bilion penjimatan sektor awam melalui pendigitalan - KD | Tujuh teras strategik MD2030 digerakkan melibatkan pelbagai kementerian sebagai pendekatan holistik kerajaan - KD | PM Anwar hari ini lancar Pelan Tindakan Malaysia Digital 2030 (MD2030) | Parlimen: Perkhidmatan LRT3 mampu tampung keperluan pengguna, unjuran 67,000 penumpang sehari - Hasbi | RT Pastry Holdings Bhd mula disenaraikan di Pasaran ACE pada 17.5 sen, berkurangan 0.5 sen daripada harga IPO sebanyak 18 sen, dengan 68.28 juta saham diniagakan | 

Malaysia, EU Teruskan Rundingan MEUFTA, Sasar Dimuktamadkan Menjelang 2027

Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani

KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) -- Malaysia dan Kesatuan Eropah (EU) telah memuktamadkan rundingan bagi lima bab di bawah Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Kesatuan Eropah (MEUFTA), dengan kedua-dua pihak menyasarkan perjanjian itu dimeterai menjelang 2027.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Sim Tze Tzin berkata pusingan keempat rundingan yang berlangsung di Kuala Lumpur dari 8 hingga 12 Jun lepas menyaksikan tiga bab berjaya dimuktamadkan, iaitu Kastam dan Pemudahcaraan Perdagangan, Remedi Perdagangan serta Amalan Pengawalseliaan Baik.

Ad Banner

Menurutnya, bab ketelusan telah dimuktamadkan pada pusingan kedua rundingan, diikuti bab perusahaan kecil dan sederhana (PKS) pada pusingan ketiga.

"Kita telah menyelesaikan pusingan keempat awal bulan ini. Pusingan rundingan seterusnya akan diadakan di Brussels, Belgium, dari 21 hingga 25 Sept ini," katanya kepada Bernama selepas menyampaikan ucaptama pada Misi Perniagaan Itali-Malaysia di sini, hari ini.

Misi perniagaan itu diadakan susulan lawatan kerja Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Itali pada Julai tahun lalu atas jemputan Perdana Menteri Itali Giorgia Meloni.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Terdahulu, dalam ucapannya, Sim berkata MEUFTA bakal menjadi pemangkin penting yang mengintegrasikan Malaysia dengan lebih erat ke dalam pasaran tunggal terbesar dunia, selain membuka peluang baharu dalam perkhidmatan berteknologi tinggi, tenaga hijau dan perdagangan digital.

Beliau berkata perjanjian itu turut mengukuhkan hubungan perindustrian serta rantaian bekalan antara Malaysia dan Itali, sekali gus mewujudkan peluang perniagaan baharu kepada syarikat dari kedua-dua ekonomi.

Mengenai perdagangan dua hala dengan Itali, beliau berkata jumlah dagangan Malaysia dengan negara itu meningkat 14.2 peratus tahun ke tahun kepada kira-kira RM17 bilion (US$3.2 bilion) pada 2025, menjadikan Itali rakan dagang kelima terbesar Malaysia di Eropah.

Eksport Malaysia ke Itali pula meningkat 12.7 peratus kepada RM7.6 bilion pada tahun sama, didorong terutamanya oleh minyak sawit dan produk berasaskan minyak sawit serta pertanian, produk besi dan keluli, produk elektrik dan elektronik (E&E), selain mesin, peralatan dan alat ganti.

Import Malaysia dari Itali pula terdiri daripada mesin, peralatan dan alat ganti, peralatan optik dan saintifik, bahan kimia dan produk kimia, barang kemas serta produk E&E.

“Semuanya merupakan produk bernilai tinggi. Kita mempunyai hubungan perdagangan dua hala yang amat kukuh, melibatkan barangan dan perkhidmatan,” katanya.

Sehingga kini, lebih 80 projek pembuatan dari Itali bernilai US$442 juta telah dilaksanakan di Malaysia merangkumi sektor pemprosesan makanan, bahan kimia, mesin dan peralatan serta aeroangkasa.

Sim berkata syarikat Itali terus melihat Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan berikutan ekosistem perindustrian yang komprehensif serta rantaian bekalan yang mantap, sekali gus membolehkan pengeluar melokalisasikan pengeluaran bagi memenuhi pasaran Asia Tenggara.

"Saya percaya Itali dan Malaysia mampu memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk E&E kerana kita mempunyai ekosistem yang lengkap yang boleh dimanfaatkan oleh Itali.

"Itali mempunyai kepakaran dalam pembuatan mesin, dan Malaysia juga mempunyai kekuatan yang sama," katanya.

Mengenai aspirasi Malaysia dalam industri semikonduktor, beliau berkata kerajaan akan terus menyokong pelaburan dalam sektor pembuatan bernilai tambah tinggi menerusi Rangka Kerja Insentif Pelaburan Baharu yang berkuat kuasa pada Mac tahun ini.

Beliau berkata rangka kerja itu menawarkan insentif cukai bagi menggalakkan pelaburan dalam pembuatan termaju, aktiviti semikonduktor peringkat hadapan serta reka bentuk litar bersepadu, selain membantu syarikat tempatan meningkatkan kedudukan dalam rantaian nilai.

"Ramai beranggapan Malaysia hanya menawarkan insentif kepada syarikat asing. Tanggapan itu tidak benar kerana kita melayan semua pihak secara sama rata.

"Keutamaan kita ialah membantu industri tempatan melonjakkan kedudukan dalam rantaian nilai dan mencapai kejayaan yang lebih besar," katanya.

-- BERNAMA