GB Bond Terima Kelulusan Bursa Malaysia Untuk Penyenaraian Di Pasaran ACE
KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- GB Bond Holdings Bhd, pengeluar pelekat industri berasaskan air, polimer emulsi dan pengedap dari Pulau Pinang, telah memperoleh kelulusan Bursa Malaysia Securities Bhd untuk tawaran awam permulaan (IPO) menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
Penyenaraian itu dijadualkan secara tentatif pada suku ketiga 2026.
Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat itu berkata IPO itu terdiri daripada terbitan awam sebanyak 64.3 juta saham baharu dan tawaran bagi penjualan 42.88 juta saham sedia ada.
Setelah selesai, modal saham terbitan GB Bond yang diperbesarkan akan meningkat kepada 412.3 juta saham, manakala harga terbitan dan tempoh permohonan akan diumumkan dalam prospektus yang akan diterbitkan pada tarikh kemudian.
"Sejak 25 tahun lepas. kami telah membangunkan perniagaan kami di sekitar formulasi teknikal, konsistensi produk dan hubungan dengan pelanggan jangka panjang.
"Cadangan penyenaraian ini akan memberi kami platform yang lebih mantap untuk mengembangkan kapasiti, mengukuhkan kehadiran serantau kami dan menyokong fasa pertumbuhan seterusnya," kata Pengarah Urusan Datuk Gooi Ching Koay.
Produk kumpulan digunakan dalam beberapa aplikasi perindustrian seperti kertas dan pembungkusan, laminasi fabrik, kerja kayu, bahan binaan serta aplikasi pembinaan dan pengubahsuaian untuk pengedap.
Untuk tahun kewangan berakhir 31 Dis 2024, syarikat itu mencatatkan hasil sebanyak RM56.34 juta dan keuntungan kasar RM21.60 juta, diterjemahkan kepada margin keuntungan kasar sebanyak 38.33 peratus.
Ia memberi perkhidmatan kepada lebih 1,000 pelanggan pada tahun berkenaan, dengan pelanggan berulang menyumbang 85.87 peratus daripada asas pelanggannya, manakala tiada pelanggan tunggal menyumbang lebih 10 peratus daripada jumlah hasilnya.
Hasil IPO akan membiayai terutamanya rancangan pengembangan kumpulan, termasuk penyewaan kilang baharu dan pembelian mesin serta peralatan untuk mengembangkan kapasiti pengeluaran, penubuhan pejabat jualan di Vietnam, membeli peralatan perumusan produk, aktiviti pemasaran, modal kerja serta perbelanjaan penyenaraian.
Pejabat Vietnam dijangka meningkatkan perkhidmatan pelanggan, pemprosesan pesanan dan penyelarasan logistik.
Malacca Securities Sdn Bhd akan bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk cadangan penyenaraian itu.
-- BERNAMA