BERITA TERKINI   Dewan Rakyat lulus RUU Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2026 | Malaysia tidak akan berkompromi dan akan mengusir mana-mana rakyat Israel yang dikesan memasuki negara ini - PM Anwar | 

Malaysia Pemacu Utama Pertumbuhan Penerbitan Sukuk Global Pada Separuh Pertama 2026

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Malaysia menjadi pemacu utama pertumbuhan penerbitan sukuk global pada separuh pertama 2026 apabila penerbitan kukuh dalam mata wang tempatan mengimbangi penerbitan sukuk yang lebih lemah dari negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC), menurut S&P Global Ratings.

Agensi penarafan itu dalam satu laporan memaklumkan terbitan sukuk global mencecah US$129 bilion pada separuh pertama 2026, meningkat daripada US$112.3 bilion bagi tempoh yang sama tahun lepas. Ia turut mengekalkan unjuran penerbitan sukuk bagi sepanjang tahun ini meningkat secara sederhana antara US$270 bilion dan US$280 bilion.

Menurutnya, penerbitan sukuk akan terus dipacu terutamanya oleh pasaran mata wang tempatan, khususnya Malaysia, di mana pertumbuhan kukuh pada separuh pertama tahun ini mengimbangi penurunan sembilan peratus penerbitan sukuk di negara-negara GCC susulan konflik di Asia Barat.

Ad Banner

S&P menyatakan pertumbuhan penerbitan sukuk disokong oleh pasaran mata wang tempatan, terutamanya di Malaysia, Qatar, Arab Saudi dan Türkiye.

Ia juga menjangkakan pasaran-pasaran itu akan kekal menjadi pemacu utama pertumbuhan sukuk di tengah-tengah ketegangan geopolitik yang berterusan dan persekitaran kadar faedah yang lebih ketat, yang akan terus menjejaskan terbitan dalam denominasi mata wang asing.

Ia menyatakan penurunan penerbitan sukuk dalam mata wang asing akan menjadi lebih ketara sekiranya todak disokong oleh peningkatan dalam penerbitan sukuk Malaysia bernilai US$7.3 bilion, yang sebahagian besarnya dipacu oleh Perbadanan Pengurusan Kecairan Islam Antarabangsa (IILM).

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

"Peningkatan ini yang diterajui oleh IILM, dipacu oleh permintaan kukuh terhadap instrumen kecairan jangka pendek patuh syariah di tengah-tengah ketidaktentuan global dan sebahagiannya mengimbangi penurunan kumulatif sebanyak US$11.3 bilion dalam jumlah penerbitan sukuk di negara-negara GCC.

"Penurunan dalam penerbitan di negara-negara GCC sebahagian besarnya berpunca daripada kelembapan ekonomi yang ketara pada separuh pertama 2026, akibat pengurangan dalam pengeluaran hidrokarbon dan aktiviti ekonomi bukan minyak yang lebih lemah," tambah agensi penarafan itu.

Sementara itu, permulaan konflik di Asia Barat mendorong beberapa penerbit GCC untuk beralih ke pasaran penempatan persendirian konvensional disebabkan kecairannya yang tinggi serta proses pelaksanaan yang lebih mudah dan pantas.

Menurut S&P, walaupun memorandum persefahaman antara Iran dan AS telah memberi harapan kepada pasaran, ketegangan yang kembali memuncak serta potensi konflik setempat memberi risiko kepada eksport tenaga dan keyakinan pelabur asing, selain boleh mendorong bank-bank pusat global untuk melaksanakan dasar yang boleh memperlahankan aktiviti penerbitan sukuk.

"Walaupun kami menjangkakan jumlah penerbitan dalam mata wang asing akan terus meningkat, kami menjangkakan ia kekal di bawah paras 2025 selagi risiko geopolitik berterusan.

"Konflik serantau yang berlanjutan menimbulkan risiko penurunan yang ketara. Secara keseluruhan, kami menjangkakan terbitan sukuk berkembang secara sederhana pada 2026, disokong oleh aktiviti kukuh dalam mata wang tempatan di Malaysia dan mengekalkan unjuran penerbitan sukuk sepanjang 2026 kami sebanyak US$270 bilion hingga US$280 bilion," tambahnya.

Agensi penarafan itu memaklumkan potensi semakan semula Standard Syariah 62 oleh Pertubuhan Perakaunan dan Pengauditan bagi Institusi Kewangan Islam (AAOIFI), yang berkaitan dengan peralihan daripada struktur sukuk 'bersandarkan penaja' kepada 'bersandarkan aset', dijangka tidak menjejaskan jumlah penerbitan sukuk pada 2026.

Dalam melangkaui ketidaktentuan jangka pendek, S&P mengekalkan tinjauan jangka sederhana yang positif terhadap pasaran sukuk, disokong oleh perkembangan kewangan mampan, pengukuhan rangka kerja kawal selia, tokenisasi serta inovasi teknologi kewangan lain yang berpotensi meningkatkan kecekapan pasaran.

-- BERNAMA