Bursa Malaysia Dijangka Catat Aktiviti Pengambilan Untung Minggu Depan
Oleh Siti Noor Afera Abu
KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Bursa Malaysia dijangka diniagakan dalam julat yang lebih sederhana minggu depan berikutan pelabur mengambil keuntungan selepas kenaikan yang kukuh dicatatkan pada minggu ini.
Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata sentimen pasaran akan terus dipengaruhi oleh perkembangan konflik antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran, dengan ketegangan baharu menyebabkan harga minyak mentah kekal tinggi berikutan kebimbangan mengenai kemungkinan gangguan bekalan melalui Selat Hormuz.
“Bagaimanapun, kami kekal optimis bahawa gelombang kedua ketegangan geopolitik ini dijangka tidak mendorong harga minyak kembali menghampiri paras US$110 setong seperti yang dapat dilihat pada suku kedua 2026 berdasarkan bekalan global yang mencukupi dan tiada gangguan pengeluaran pada skala besar,” katanya kepada Bernama.
Mohd Sedek turut menjangka penggiliran sektor akan terus menjadi tema utama pasaran berikutan pelabur dijangka terus memindahkan pelaburan antara sektor defensif dan sektor pertumbuhan apabila mereka menilai semula jangkaan kadar faedah dan risiko geopolitik.
Beliau berkata saham teknologi, terutamanya dijangka mengalami turun naik selepas mencatat prestasi yang amat baik pada awal tahun ini, dengan trend penggiliran yang sama ketara dalam pasaran ekuiti global dan serantau.
“Pada peringkat domestik, kami menjangka saham perbankan, perladangan dan pengguna yang bersifat defensif akan terus menyokong prestasi keseluruhan pasaran, disokong oleh asas ekonomi Malaysia yang berdaya tahan dan minat pelabur asing yang berterusan,” katanya.
Pada asas Jumaat kepada Jumaat, indeks utama meningkat 39.95 mata kepada 1,731.45 daripada 1,691.49 minggu lepas.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas melonjak 195.28 mata kepada 12,719.09, Indeks FBMT 100 naik 203.23 mata kepada 12,557.56 dan Indeks FBM Emas Shariah meningkat 108.86 mata kepada 12,482.47.
Indeks FBM Mid 70 merosot 83.55 mata kepada 17,774.92 dan Indeks FBM ACE berkurangan 14.28 mata kepada 4,879.15.
Mengikut sektor, Indeks Perladangan melonjak 281.46 mata kepada 9,483.77, Indeks Tenaga menurun 2.54 mata kepada 766.28, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 613.70 mata kepada 20,535.36 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menambah 4.15 mata kepada 186.73.
Jumlah dagangan mingguan naik kepada 17.82 bilion unit bernilai RM13.68 bilion daripada 13.83 bilion unit bernilai RM10.37 bilion minggu lepas.
Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 9.22 bilion unit bernilai RM12.10 bilion daripada 5.85 bilion unit bernilai RM8.75 bilion sebelum ini.
Jumlah dagangan waran naik kepada 5.73 bilion unit bernilai RM711.62 juta daripada 5.41 bilion unit bernilai RM727.57 juta minggu lepas.
Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 2.86 bilion unit bernilai RM862.68 juta daripada 2.60 bilion unit bernilai RM860.50 juta pada minggu sebelumnya.
-- BERNAMA