CIMB Semak Semula Unjuran KDNK Separuh Kedua 2026 Kepada 4.1 Peratus, Naikkan Unjuran Tahun Penuh Kepada 4.8 Peratus

KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- CIMB Treasury and Markets Research menyemak semula unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) separuh kedua 2026 kepada 4.1 peratus dan menaikkan unjuran tahun penuh 2026 kepada 4.8 peratus daripada 4.3 peratus seiring dengan prestasi kukuh pada suku kedua 2026.

Menurut firma itu dalam nota penyelidikan, semakan semula itu didorong terutamanya oleh prospek sektor pembuatan elektrik dan elektronik (E&E), yang kini dijangka berkembang 15.4 peratus tahun ke tahun pada 2026.

“Walaupun begitu, kami terus menjangka pertumbuhan keseluruhan akan sederhana kepada 4.1 peratus pada separuh kedua 2026 (separuh pertama 2026: 5.6 peratus) berikutan permintaan domestik yang rendah dan pembuatan berorientasikan domestik yang lemah mengimbangi pengukuhan berterusan dalam E&E berorientasikan eksport,” katanya.

Ad Banner

CIMB Treasury and Markets Research turut mengunjurkan pertumbuhan pembuatan secara keseluruhan akan menurun kepada 6.1 peratus pada separuh kedua 2026 berbanding 6.6 peratus pada separuh pertama 2026 manakala pertumbuhan perkhidmatan juga sederhana kepada 4.2 peratus daripada 5.5 peratus dalam tempoh yang sama.

“Pertumbuhan sektor perkhidmatan yang perlahan sebahagiannya mencerminkan kesan asas yang kurang menggalakkan susulan prestasi tahun lepas yang kukuh.

“Bagaimanapun, pertumbuhan secara suku ke suku dijangka kekal konsisten dengan trend sebelum ini walaupun inflasi yang tinggi turut dijangka memberi impak kepada perbelanjaan isi rumah menjelang akhir tahun,” katanya.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

CIMB Treasury and Markets Research memaklumkan pihaknya masih menjangka inflasi keseluruhan akan mencatat pada purata 2.6 peratus pada suku keempat 2026, dengan peningkatan dijangka kekal didorong terutamanya oleh faktor tolakan kos.

“Tekanan harga asas juga dijangka kekal terkawal, dengan inflasi teras stabil pada 2.2 hingga 2.3 peratus.

“Tanpa impak pusingan kedua, kami menjangka Bank Negara Malaysia akan terus melangkaui inflasi sementara yang didorong oleh penawaran ini,” katanya. 

-- BERNAMA