BERITA TERKINI   Sweden, Poland, Romania dan Lithuania diterima menjadi anggota baharu Triti Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC) - Mohamad HasanĀ  | ASEAN terima United Kingdom sebagai negara anggota Forum Serantau ASEAN (ARF) yang baharu- Mohamad Hasan | ASEAN terima kemasukan Turkiye sebagai Rakan Dialog yang baharu - Mohamad Hasan | 63,475 pasport Malaysia versi baharu dikeluarkan setakat 17 Julai - KP Imigresen | BN kekal dalam Kerajaan Perpaduan selaras resolusi PAU, semua pihak diminta hormati keputusan badan tertinggi - Ahmad Zahid | 

Perdagangan Malaysia Mengukuh 44.7 Peratus Kepada RM340.9 Bilion Pada Jun 2026 -- DOSM

KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) -- Prestasi perdagangan Malaysia terus mengukuh pada Jun 2026 apabila meningkat 44.7 peratus kepada RM340.9 bilion berbanding RM235.6 bilion pada bulan sama tahun lepas, disokong pertumbuhan berterusan eksport dan import.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkata eksport meningkat 45.4 peratus kepada RM177.9 bilion, manakala import berkembang 43.9 peratus kepada RM163.0 bilion, sekali gus melonjakkan lebihan dagangan sebanyak 64.9 peratus kepada RM14.9 bilion dalam tempoh berkenaan.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Siti Asiah Ahmad berkata pertumbuhan eksport pada Jun 2026 disokong oleh peningkatan eksport semula dan eksport domestik.

Ad Banner

Beliau berkata eksport semula, yang merangkumi 22.1 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport, meningkat 48.7 peratus tahun ke tahun kepada RM39.3 bilion.

Sementara itu, eksport domestik yang menyumbang 77.9 peratus daripada jumlah eksport pula berkembang 44.6 peratus kepada RM138.6 bilion, manakala import meningkat 43.9 peratus kepada RM163.0 bilion.

"Lebihan dagangan melonjak 64.9 peratus kepada RM14.9 bilion, sekali gus merekodkan lebihan dagangan bagi bulan ke-74 berturut-turut sejak Mei 2020.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

"Berbanding Mei 2026, import dan jumlah perdagangan masing-masing meningkat 13.2 peratus dan 4.0 peratus. Sementara itu, eksport dan lebihan dagangan masing-masing susut 3.2 peratus dan 62.7 peratus," katanya.

Siti Asiah berkata berdasarkan kumpulan barangan, sebanyak 162 daripada 258 kumpulan eksport dan 193 daripada 258 kumpulan import merekodkan pertumbuhan berbanding bulan sama tahun sebelumnya.

Beliau berkata peningkatan eksport didorong terutamanya oleh kenaikan penghantaran ke Amerika Syarikat (RM18.1 bilion), diikuti Singapura (RM8.1 bilion), China (RM5.4 bilion), Taiwan (RM3.1 bilion), Kesatuan Eropah (RM2.7 bilion), Jepun (RM2.6 bilion) dan Thailand (RM2.5 bilion).

Import pula meningkat terutamanya berikutan pertambahan kemasukan barangan dari China (RM15.8 bilion), diikuti Singapura (RM10.0 bilion), Korea Selatan (RM4.6 bilion), Amerika Syarikat (RM4.2 bilion), Taiwan (RM3.5 bilion), India (RM2.2 bilion) dan Kesatuan Eropah (RM2.2 bilion).

Pertumbuhan eksport dipacu oleh peningkatan eksport produk elektrik dan elektronik (E&E) sebanyak RM30.9 bilion, keluaran perkilangan lain (RM8.8 bilion), keluaran petroleum (RM4.7 bilion), gas asli cecair (LNG) (RM2.9 bilion), barangan optik dan saintifik (RM2.2 bilion) serta pembuatan logam (RM2.1 bilion).

"Pada masa sama, import mencerminkan aliran masuk yang lebih tinggi bagi barangan elektrik dan elektronik (RM32.0 bilion), keluaran petroleum (RM5.6 bilion), keluaran perkilangan lain (RM2.1 bilion), jentera, kelengkapan dan peralatan (RM1.8 bilion), pembuatan besi (RM1.7 bilion) dan peralatan pengangkutan (RM1.6 bilion)," kata Siti Asiah.

Mengulas prestasi suku kedua 2026, Siti Asiah berkata jumlah perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan masing-masing mencatatkan peningkatan berbanding tempoh sama tahun lepas.

Beliau berkata prestasi ekonomi yang memberangsangkan mendorong jumlah perdagangan meningkat 34.1 peratus, sejajar dengan peningkatan eksport sebanyak 42.4 peratus dan import sebanyak 25.4 peratus.

Selain itu, lebihan dagangan pula berjumlah RM84.0 bilion, meningkat 449.2 peratus berbanding suku kedua 2025, katanya.

-- BERNAMA