Pulau Pinang, Johor, Selangor, Sarawak, KL Dominasi Eksport Malaysia Pada Jun 2026 - DOSM
KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) -- Pulau Pinang, Johor, Selangor, Sarawak dan Kuala Lumpur mendominasi prestasi eksport Malaysia dengan menyumbang sebanyak 89.6 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport bagi Jun 2026, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Jabatan itu menyatakan eksport Malaysia pada Jun 2026 mencapai RM177.9 bilion, meningkat RM55.6 bilion, naik 45.4 peratus daripada bulan yang sama tahun sebelumnya.
Menurutnya, Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama dengan sumbangan sebanyak 48.9 peratus, diikuti oleh Johor (17.6 peratus), Selangor (13.8 peratus), Sarawak (6.0 peratus) dan Kuala Lumpur (3.2 peratus).
DOSM memaklumkan peningkatan eksport ini disumbangkan oleh eksport lebih tinggi di Pulau Pinang (+RM39.0 bilion), Johor (+RM8.7 bilion), Sarawak (+RM4.3 bilion), Selangor (+RM4.0 bilion), Kuala Lumpur (+RM880.4 juta), Perak (+RM567.5 juta), Kedah (+RM178.7 juta), Labuan (+RM153.8 juta) dan Negeri Sembilan (+RM99.9 juta).
"Bagaimanapun, eksport menurun di Perlis (-RM22.1 juta), Kelantan (-RM63.3 juta), Terengganu (-RM93.7 juta), Pahang (-RM104.6 juta), Melaka (-RM508.7 juta) dan Sabah (-RM547.5 juta)," jelasnya.
Jabatan perangkaan itu menyatakan import pada Jun 2026 meningkat sebanyak RM49.7 bilion (+43.9 peratus) berbanding bulan yang sama 2025 dengan Pulau Pinang mendominasi import Malaysia dengan pegangan 28.4 peratus diikuti Johor (24.2 peratus), Selangor (22.6 peratus), Kuala Lumpur (10.9 peratus) dan Kedah (4.6 peratus).
Menurut DOSM, peningkatan import ini disumbangkan oleh import lebih tinggi di kebanyakan negeri seperti Pulau Pinang (+RM19.5 bilion), Johor (+RM11.9 bilion), Selangor (+RM9.2 bilion), Kuala Lumpur (+RM8.3 bilion), Kedah (+RM1.5 bilion), Negeri Sembilan (+RM748.7 juta), Perak (+RM398.6 juta), Pahang (+RM266.6 juta) dan Sabah (+RM4.8 juta).
Bagaimanapun, jelasnya, import menurun di Kelantan (-RM12.4 juta), Labuan (-RM17.3 juta), Perlis (-RM31.6 juta), Sarawak (-RM32.6 juta), Terengganu (-RM50.0 juta) dan Melaka (-RM559.7 juta).
-- BERNAMA