Ringgit Diunjur 3.90-4.20 Berbanding Dolar AS Pada Separuh Kedua 2026

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) -- Pertumbuhan Malaysia yang berdaya tahan, lebihan dagangan kekal kukuh serta kerangka dasar monetari yang berdisiplin dijangka terus menyuntik sokongan terhadap ringgit sepanjang separuh kedua 2026 dengan unjuran dalam julat 3.90 hingga 4.20 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Ketua Ahli Ekonomi Global Juwai IQI, Shan Saeed berkata senario ringgit bagi separuh kedua itu juga kurang bergantung kepada momentum berbanding kredibiliti dasar serta faktor luaran.

Ad Banner

“Nilai strategik Bank Negara Malaysia (BNM) terletak kepada aspek konsistennya. Menerusi langkah mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus, BNM telah menyeimbangkan kestabilan harga, pertumbuhan domestik dan keadaan kewangan yang teratur tanpa mempertahankan sasaran pertukaran mata wang yang tertentu.

“Pendirian sedemikian adalah penting. Ini membolehkan ringgit menyerap kejutan global dan pada masa sama mengekalkan kredibiliti dasar, kecairan domestik dan peranan pasaran dua hala yang baik,” katanya kepada Bernama.

Menjelaskan selanjutnya, beliau berkata elemen makro turut menyokong keadaan, termasuk ekonomi Malaysia yang tumbuh 5.8 peratus tahun ke tahun pada suku kedua, menaikkan pertumbuhan separuh pertama kepada 5.6 peratus manakala perdagangan bagi separuh pertama naik 22.4 peratus ke paras tertinggi RM1.8 trilion, eksport melonjak 27.5 peratus dan lebihan terkumpul meningkat kepada RM147.1 bilion.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Shan berkata Jun juga merupakan bulan ke-74 berturut-turut menyaksikan Malaysia mencatatkan lebihan dagangan barangan dan kekuatan sektor luaran negara kini semakin bersifat struktur dan bukan semata-mata bergantung kepada kitaran ekonomi.

Produk elektrik dan elektronik, semikonduktor, sektor pembuatan maju serta infrastruktur digital kini menyediakan asas eksport yang lebih meluas, sekali gus mengurangkan kebergantungan Malaysia terhadap kitaran komoditi semata-mata, katanya.

“Tenaga kekal sebagai faktor fiskal yang mempunyai dua kesan. Kenaikan harga minyak mentah misalnya meningkatkan hasil berkaitan petroleum dengan setiap perubahan US$1 setong dianggarkan menjana kira-kira RM300 juta tambahan hasil bukan dividen.

“Namun, manfaat itu hanya mampu mengimbangi sebahagian daripada unjuran bil subsidi bahan api yang mencecah hampir RM40 bilion pada 2026. Oleh itu, kedudukan fiskal negara lebih berdaya tahan berbanding terdedah kepada risiko namun tidak semestinya kebal terhadap kejutan tenaga yang berpanjangan,” katanya.

Shan berkata rizab antarabangsa kekal sebagai faktor utama selanjutnya dengan rizab BNM berada pada US$131.8 bilion setakat 15 Julai 2026 dan memadai untuk membiayai 4.7 bulan import serta 0.9 kali jumlah hutang luar negara jangka pendek walaupun penurunan sederhana pada akhir Jun lepas.

“Dalam kelompok ‘Fabulous Five’ atau lima ekonomi hebat iaitu Malaysia, Indonesia, Vietnam, Thailand dan Filipina, kedudukan atau daya tarikan ringgit lebih bersifat perbandingan berbanding kelebihan secara mutlak.

“Malaysia menawarkan pasaran modal lebih mendalam, kelangsungan institusi yang kukuh serta kerangka monetari yang boleh dijangka berbanding kebanyakan negara serantau,” katanya.

Beliau berkata unjuran ringgit diniagakan dalam julat 3.90-4.20 berbanding dolar AS kekal sebagai munasabah, kecuali berlaku semakan semula dasar monetari Rizab Persekutuan AS yang lebih ketat, aliran keluar portfolio berterusan atau berlakunya kemerosotan dari segi kedudukan luaran Malaysia.

“Ringgit bukannya bergerak sehala ke arah pengukuhan dan merupakan mata wang ASEAN yang mempunyai kredibiliti dengan sokongan disiplin monetari, kekukuhan sektor luaran serta peningkatan kompleksiti ekonomi negara,” katanya.

-- BERNAMA