SIA Group Catat Rugi Bersih S$76 Juta Walaupun Raih Hasil Tertinggi
Oleh Anas Abu Hassan
SINGAPURA, 28 Julai (Bernama) -- Singapore Airlines (SIA) Group mencatat kerugian bersih S$76 juta (S$1=RM3.16) pada suku pertama tahun kewangan berakhir pada 30 Jun 2026 berbanding keuntungan bersih S$186 juta dalam tempoh sama pada 2025.
Dalam kenyataan hari ini, SIA memaklumkan kerugian itu sebahagian besarnya disebabkan oleh kemerosotan keuntungan operasi serta peningkatan bahagian kerugian ditanggung daripada Air India.
Bagaimanapun, sebahagiannya dapat diimbangi oleh perbelanjaan cukai yang lebih rendah.
Menurut kumpulan itu, kenaikan mendadak kos bahan api itu menyebabkan kumpulan mencatatkan keuntungan operasi sebanyak S$106 juta iaitu susut S$299 juta atau 73.8 peratus berbanding tempoh sama pada 2025.
Namun, pada masa sama, kumpulan berjaya mencatatkan hasil suku tahunan tertinggi iaitu S$5.71 bilion bagi tempoh suku di bawah kajian -- peningkatan S$924 juta atau 19.3 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Kumpulan terus memanfaatkan peluang daripada permintaan kukuh terhadap perjalanan udara dengan hasil daripada perkhidmatan penumpang meningkat sebanyak 18.6 peratus kepada S$4.58 bilion.
“SIA dan (syarikat penerbangan tambang rendah milik kumpulan) Scoot mencatatkan sebanyak 10.9 juta penumpang iaitu peningkatan 6.3 peratus daripada setahun lepas,” katanya.
Menyentuh prospek, SIA memaklumkan perkembangan geopolitik, termasuk krisis Asia Barat, terus memburukkan lagi ketidaktentuan dalam persekitaran operasi industri.
Impak paling ketara adalah ke atas harga bahan api jet yang juga perbelanjaan operasi terbesar, apabila harga kekal melebihi paras sebelum konflik dan meningkatkan tekanan kos secara ketara.
Menurutnya, walaupun SIA dan Scoot telah bertindak melaraskan tambang penerbangan serta kadar caj kargo bagi membantu mengurangkan kesan, langkah berkenaan terbukti masih belum mampu mengimbangi sepenuhnya impak kenaikan mendadak harga bahan api.
“Konflik berterusan di Asia Barat juga berkemungkinan menjejaskan rantaian bekalan, perdagangan global serta keadaan makroekonomi,” menurutnya.
-- BERNAMA