PMKS Malaysia Sedia Manfaatkan DEFA Bagi Tembusi Pasaran ASEAN - Sim

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Kerajaan yakin tahap penerimaan digital yang tinggi dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) membolehkan mereka memanfaatkan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA) untuk menembusi pasaran seramai 680 juta pengguna di ASEAN.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Sim Tze Tzin berkata PMKS tempatan menunjukkan kemajuan pesat dalam pendigitalan termasuk penggunaan pembayaran melalui kod QR yang kini semakin meluas termasuk dalam kalangan penjaja kecil di luar bandar.

“Pergi ke mana-mana tempat, penjaja kecil yang menjual pisang goreng pun, kita boleh bayar menggunakan kod QR sekarang.

Ad Banner

“Ini menunjukkan PMKS kita amat maju dari segi adaptasi pendigitalan. Saya yakin dengan tahap celik digital dalam kalangan peniaga walaupun di kampung, mereka telah menggunakan pembayaran digital. Saya rasa mereka amat bersedia untuk menembusi pasaran melibatkan 680 juta pengguna,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Tiew Way Keng mengenai langkah kerajaan bagi memastikan PMKS tidak terbeban dengan kos pendigitalan rentas negara yang tinggi termasuk pelaksanaan e-Invois dalam konteks serantau. 

Sim berkata Malaysia telah mencapai kemajuan dalam pelaksanaan e-Invois sebagai sebahagian daripada persediaan negara untuk bergerak ke arah pendigitalan bertaraf global.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Bagaimanapun, kerajaan sedar bahawa bukan semuanya bersedia (untuk melaksanakan e-Invois). Oleh itu, pengecualian berdasarkan ambang diberikan mengikut (ketetapan) Kementerian Kewangan. (Langkah) itu telah memberikan sedikit masa kepada mereka untuk mencapai (tahap pelaksanaan) e-Invois yang ditetapkan.

“Kerajaan mengambil langkah berhati-hati dan mesra PMKS supaya mereka lebih selesa dan tidak tertekan dengan kos pematuhan atau kerja-kerja untuk mencapai pelaksanaan e-Invois tersebut,” katanya. 

Menjawab soalan asal Senator Datuk Ng Keng Heng mengenai sama ada inisiatif DEFA membantu memudahkan urusan perdagangan rentas sempadan ASEAN, Sim berkata DEFA yang dijangka ditandatangani pada hujung tahun ini merupakan ‘lebuh raya digital’ yang akan memecahkan tembok birokrasi fizikal serta mengurangkan halangan bukan tarif (NTB) antara negara anggota ASEAN.

“Dengan penyelarasan kerangka perundangan digital ini, fragmentasi pasaran dapat dikurangkan, menjadikan rantau ASEAN sebuah blok ekonomi digital tunggal yang lebih cekap, murah dan kompetitif pada peringkat global,” katanya. 

Perjanjian tersebut bertujuan menjadikan ASEAN sebuah rantau berdaya saing dan kondusif untuk perniagaan ke arah menjana nilai ekonomi digital serantau sebanyak US$2 trilion menjelang 2030. 

Mengenai keberkesanan mekanisme pemantauan NTB ASEAN dalam menangani diskriminasi terhadap produk atau perkhidmatan Malaysia, Sim berkata Malaysia akan terus memanfaatkan mekanisme itu dan memperkukuh disiplin berkaitan NTB melalui pelaksanaan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) yang telah dinaik taraf.

Beliau berkata langkah ini bagi memastikan sebarang isu diskriminasi pasaran terhadap produk dan perkhidmatan Malaysia dapat ditangani secara lebih berkesan.

“Walaupun terdapat beberapa mekanisme yang bersifat tidak mengikat, pelaksanaannya telah meningkatkan ketelusan, menggalakkan dialog konstruktif antara negara anggota ASEAN serta menyediakan saluran penyelesaian yang lebih pantas dan mesra perniagaan,” katanya.

ASEAN telah mewujudkan beberapa mekanisme bagi memantau, mengenal pasti dan menangani isu NTB dalam kalangan negara anggota termasuk Jawatankuasa Perundingan Bersama Fasilitasi Perdagangan ASEAN (ATF-JCC); Jawatankuasa Penyelaras Pelaksanaan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (CCA); Repositori Perdagangan ASEAN (ATR); Penyelesaian ASEAN bagi Pelaburan, Perkhidmatan dan Perdagangan (ASSIST); Tingkap Tunggal ASEAN (ASW); Perjanjian Pengiktirafan Bersama (MRA) dan Garis Panduan Pelaksanaan Komitmen ASEAN Terhadap Langkah Bukan Tarif Ke Atas Barangan.

“Dari segi keberkesanannya, mekanisme ini telah menyediakan saluran yang lebih tersusun bagi mengenal pasti, memantau dan menyelesaikan isu NTB yang menjejaskan perdagangan serantau termasuk melibatkan produk dan perkhidmatan Malaysia.

“Sebagai contoh, ATR telah meningkatkan ketelusan dengan membolehkan pengeksport mendapatkan maklumat mengenai langkah bukan tarif sebelum memasuki pasaran ASEAN manakala ASW dan MRA telah membantu mengurangkan kelewatan, kos pematuhan serta halangan teknikal kepada perdagangan,” katanya. 

-- BERNAMA