Penjualan Aset Hampir RM10 Bilion Selamatkan TH, Kerugian RM2.6 Bilion Ditangani Bagi Pemulihan Seterusnya
KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Pelan Pemulihan dan Penstrukturan Lembaga Tabung Haji (TH) berjaya menangani kerugian pelaburan RM12.6 bilion, iaitu RM10 bilion melalui Pelan Pemulihan 2018 dan RM2.6 bilion secara berperingkat sehingga akhir 2025.
Menurut TH dalam satu kenyataan, pelan penstrukturan semula pada 2018 adalah bagi menangani kedudukan defisit kewangan yang memerlukan tindakan penyelamatan kewangan segera (bailout) daripada kerajaan pada waktu tersebut untuk melindungi TH daripada insolvensi.
Jurang antara aset dan liabiliti yang dikenal pasti pada akhir 2017 terus meningkat melebihi RM10.0 bilion pada akhir 2018.
Sekiranya tidak ditangani sebelum akhir 2018, TH tidak dapat memenuhi syarat di bawah Akta Tabung Haji untuk mengisytiharkan sebarang agihan keuntungan.
“Jika tiada tindakan ‘bailout’ oleh kerajaan pada masa itu, ia juga boleh menyebabkan krisis pasaran kewangan dan menggugat kestabilan negara apabila TH terpaksa menjual aset pada harga terdesak di pasaran bagi memenuhi permohonan pengeluaran tunai yang besar dan tidak terkawal oleh pendeposit (deposit run) ketika TH gagal mengisytiharkan agihan keuntungan kepada pendepositnya,” jelas TH.
Menurut TH, kerajaan dan institusi yang mengurus simpanan serta urusan haji jemaah Malaysia itu berdepan dengan empat pilihan untuk melaksanakan Pelan Pemulihan dan Penstrukturan TH dalam masa yang suntuk sebelum akhir 2018.
Langkah pelaksanaan penjualan aset kurang berdaya saing dan bermasalah pada nilai premium kepada kerajaan telah diambil bagi menutup jurang antara aset dan liabiliti supaya TH kekal upaya (solven).
TH memaklumkan syarikat tujuan khas (SPV) milik penuh kerajaan, iaitu Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) telah membeli aset bernilai RM9.7 bilion pada jumlah RM19.9 billion untuk menutup defisit yang dihadapi dan membolehkan agihan keuntungan diisytihar bagi tahun 2018.
Transaksi tersebut dibiayai oleh dua siri sukuk terbitan UJSB yang diberi surat sokongan kerajaan dengan kadar keuntungan 4.05 peratus dan 4.10 peratus setahun.
“Sepanjang penerbitan sukuk, UJSB juga telah membuat beberapa tawaran untuk menjual aset kepada TH, namun kesemuanya tidak memenuhi penilaian kriteria TH,” menurut TH.
Pada tahun ini, setelah meneliti lagi aset yang ditawarkan oleh UJSB, TH telah membeli semula tanah di TRX pada harga pasaran semasa sebanyak RM270 juta berbanding harga asal penjualan kepada UJSB sebanyak RM400 juta.
TH juga telah membeli semula ladang kelapa sawit UJ Estates (Holdings) Sdn Bhd pada harga RM695 juta berbanding harga penjualan asal RM800 juta.
“Transaksi ini menunjukkan TH hanya akan mengambil alih semula aset yang memberi nilai tambah kepada portfolio pelaburan demi menjaga kepentingan para pendepositnya,” ujar TH.
TH telah mengisytihar kadar agihan keuntungan yang bertambah baik dan stabil dengan pulangan meningkat kepada 3.25 peratus bagi tahun 2024 dan 3.5 peratus bagi 2025 berbanding 1.25 peratus bagi 2018.
Agihan keuntungan tersebut dibuat setelah mengambil kira rosot nilai aset bermasalah yang tidak dapat dipindahkan ke UJSB pada akhir tahun 2018 atas sebab-sebab tertentu berjumlah RM2.6 bilion, jelas TH.
TH memaklumkan kedudukan kewangannya kini lebih kukuh dan institusi itu juga telah mula membina semula rizab untuk masa depan yang lebih stabil.
“TH kekal komited untuk melindungi kepentingan para pendeposit, mengukuhkan kepercayaan awam serta memastikan institusi ini terus beroperasi dengan penuh integriti dan bertanggungjawab,” menurut TH.
-- BERNAMA