Niaga Hadapan KLCI Dijangka Bergerak Dalam Julat 1,710 Hingga 1,740 Minggu Depan
Oleh Zufazlin Baharuddin dan Fatin Umairah Abdul Hamid
KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka diniagakan dengan kecenderungan meningkat dalam julat antara 1,710 hingga 1,740 minggu depan, menurut seorang penganalisis.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng memberitahu Bernama bahawa peningkatan itu akan disokong oleh minat belian berterusan daripada pelabur institusi dan asing susulan aktiviti belian yang kukuh pada minggu lepas.
“Memasuki Ogos yang merupakan musim pengumuman keputusan kewangan, sentimen pasaran dijangka bertambah baik sekiranya prestasi syarikat melebihi sasaran,” katanya.
Bagi minggu yang baru berakhir, kontrak niaga hadapan FBM KLCI ditutup kebanyakannya lebih tinggi.
Berdasarkan perbandingan Jumaat ke Jumaat, kontrak Julai 2026 meningkat 20.5 mata kepada 1,722.5, kontrak Ogos 2026 naik 30 mata kepada 1,732.5, kontrak September 2026 menokok 28.5 mata kepada 1,710.5 manakala kontrak Disember 2026 menambah 29.5 mata kepada 1,714.0.
Jumlah dagangan mingguan melonjak kepada 184,724 lot daripada 38,614 lot pada minggu sebelumnya manakala kepentingan terbuka berkembang kepada 54,476 kontrak daripada 51,094 kontrak sebelumnya.
Berdasarkan perbandingan Jumaat ke Jumaat, indeks penanda aras bertambah 23.88 mata kepada 1,724.90 daripada 1,701.02 pada minggu sebelumnya.
-- BERNAMA